Monday, July 6, 2009

Budaya Berhutang: Antara Keperluan Dan Keseronokan Yang Sementara


Bismillahirahmanirrahim…
Kebelakangan ini kita sering dikhabarkan dengan berita dan kisah penderitaan hidup individu yang terlibat dengan hutang yang tidak dapat dilunasi. Tidak terlepas juga beberapa bulan lalu kita telah digemparkan dengan berita keganasan Ah Long terhadap mereka yang gagal melangsaikan hutang masing-masing. Berita tersebut jelas mendapat perhatian banyak pihak dan tidak ketinggalan Perdana Menteri juga telah melahirkan rasa terkejut dengan kejadian seperti itu. Persoalannya, apakah senario hutang ini baru saja berlaku di sekeliling kita? Apakah puncanya, dan apakah selama ini tidak ada jalan penyelesaian kepada masalah hutang ini?

Pada hakikatnya, Islam telah terlebih dahulu menyentuh dan memberi garis panduan yang selamat dalam hal hutang ini. Agama Islam membenar malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah kewangan. Dalam masa yang sama, Islam memberi galakkan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia" (Al-Hadid : 18)

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
" Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan" (Al-Maidah : 2)

Namun demikian, Islam begitu teliti dan amat memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang tersebut kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini sehinggalah ke akhirat kelak.
Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.
Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan RUGI, RUGI dan RUGI. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.
Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Apabila direnung kembali, ternyata ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah :-
1) Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.
2) Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang, lantaran itu ia berbuat demikian, walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanyalah untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.
3) Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang telah dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.
4) Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan berhutang.
5) Berkehendakkan sesuatu benda yang melibatkan material dan kebendaan dengan cepat dan pantas walaupun pada hakikatnya ia tidak mampu berbuat demikian.

Dalam hal ini jika perkara yang hendak dimiliki itu merupakan keperluan asasi (dharuriat) seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya, maka Islam membenarkan berhutang sebagaimana dalam sebuah hadis iaitu :-


Maksudnya :
"Daripada Abu Hurairah R.A., berkata seseorang ; Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik ?, Baginda bersabda 'Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya. "

Tetapi jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah ia berhutang, kerana hanya akan menambahkan bebanan lebih-lebih lagi jika melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba'.

Perlu diambil perhatian bahawa, antara implikasi amalan berhutang ialah:-

1) Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.
2) Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam kancah resah gelisah dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
3) Seseorang yang terbeban dengan hutang itu akan memungkinkan ia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh Syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.
4) Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya setelah meniggal dunia sehinggalah dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup.

Sabda Rasulullah S.A.W :-
Maksudnya :
"Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya ".

Na’uzubillahiminzalik…!

Rasulullah S.A.W pernah berwasiat kepada para sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya :-

Maksudnya :
'Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas'

5) Amalan berhutang ini bukan sahaja melibatkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan ia berpanjangan hingga ke hari akhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W :-
Maksudnya :
" Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi "

6) Mereka yang berhutang walau sebanyak manapun amalan kebaikan yang dilakukan, ia tidak akan selamat di dunia dan di akhirat sekalipun dia mati syahid. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :-
"Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. " (Riwayat Bukhari, Tarmizi, An-Nasai' dan Ibn. Majah)

Rasulullah S.A.W sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, bahawa bila didatangkan kepada Rasulullah S.A.W satu jenazah, Rasulullah S.A.W tidak akan bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup menaggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.

Begitu juga akan halnya yang melingkari senario mahasiswa kini yang perlu kepada wang yang banyak untuk membiayai pelajaran mereka. Betapa ramai graduan hari ini dihimpit dengan masalah hutang pinjaman yang belum diselesaikan. Justeru itu, kita memerlukan satu mekanisma yang benar-benar mapan untuk mengatasi masalah hutang ini. Pada hemat saya, panduan dari Al-Quran dan As-Sunnah itu adalah penyelesaiannya!

Sunday, July 5, 2009

Islam Dalam Perlembagaan Malaysia: Satu Renungan Untuk Difahami

Ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Negara bukanlah satu kebetulan yang dilakukan secara tidak sengaja oleh mereka yang merundingkan Kontrak Sosial lebih lima puluh tahun yang lampau. Ia adalah pernyataan tegas oleh semua yang telah berperanan merundingkan proses kemerdekaan. Ia adalah rumusan yang telah mengambilkira latar belakang sejarah, dinamika budaya tempatan, ciri-ciri ketamadunan dan ketatanegaraan di Persekutuan Tanah Melayu. Ketetapan ini tidak pernah menolak keperluan mana-mana anggota masyarakat yang lain untuk menghayati mana-mana agama yang menjadi anutannya.

Peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan ini merupakan salah satu dari tujuh ciri-ciri asas Perlembagaan Negara sepertimana yang dicatat oleh Tun Mohamed Suffian, bekas Ketua Hakim Negara (1974-1982). Menurut beliau, “The fourth basic feature of theConstitution providing for Islam to be the religion of the federation (Article 3(1)) (not for a theocratic state) and at the same time guaranteeing freedom of religion was accepted without controversy and debate.
The rulers of the Malay States and the Malay population were Muslims even before the arrival of the Portuguese in the sixteenth century and the Muslim population have always been tolerant towards the followers of any or no religion.”
(An Introduction to the Legal System in Malaysia, 1989, hal. 13).

Lain-lain ciri-ciri asas Perlembagaan Malaysia, menurut beliau lagi, ialah (1) Malaysia sebagai sebuah Persekutuan (Perkara 1); (2)Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan (supremacy of the Constitution) (Perkara 4(1)); (3) Pengasingan Kuasa antara Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman (separation of powers); (4) Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) (Perkara 39); (5) Demokrasi Berparlimen (Perkara 44); dan (6) Badan Kehakiman yang terpisah dan bebas dari penguasaan Parlimen dan Eksekutif (Perkara 128).

Kesemua ciri-ciri asas ini sememangnya wajar dipertahankan! Menurut almarhum Profesor Ahmad Ibrahim (m. 1998) di dalam kertaskerjanya, “Islam and The Constitution” yang dibentangkan di Universiti Malaya pada 23 Ogos 1987, ketika Suruhanjaya Perlembagaan dibentuk pada 1956, terma rujukannya (terms of reference) secara khusus memperuntukkan, antara lain, bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu mempunyai peruntukan-peruntukan seperti (a) melindungi kedudukan (position) dan mertabat (prestige) Raja-Raja Melayu di negeri-negeri masing, (b) Yang Di-Pertuan Agung perlu dipilih dari kalangan Raja-Raja Melayu, dan (c) melindungi kedudukan istimewa kaum Melayu. Profesor Ahmad Ibrahim kemudiannya merumuskan kertaskerja beliau: “There seems a need therefore to give a proper place to the Islamic law and the Shariah Courts and thus to implement the provision that Islam is the religion of the Federation. As Islam is the religion of the Federation the Shariah as based on the Holy Quran and the Sunnah must be enforced in the Federation and it should be provided that any law which is inconsistent with the HolyQuran and the Sunnah shall be void to the extent of such inconsistency.

The Privy Councilhas ruled that in the case of Singapore a law to be valid must conform to the fundamental rules laid down by the English Common Law. This view seems to be acceptable to some in Malaysia too but as Islam is the religion of the Federation surely the fundamental principles of the laws should be based in Malaysia not on the English Common Law but on the Shariah. ”


Tidak sampai setahun kemudiannya, pada 10 Jun 1988, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan memperuntukkan fasal 1A kepada Artikel 121 Perlembagaan yang menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai sebarang bidang kuasa (jurisdiction) terhadap perkara-perkara yang menjadi bidang kuasa Mahkamah Shariah. Pelaksanaan pindaan ini, pada awalnya, menemui beberapa kesukaran sehinggalah Mahkamah Agong membuat keputusan di dalam kes Mohd Habibullah Mahmood v Faridah Dato’ Talib pada tahun 1993. Dengan kes ini, kedudukan Mahkamah Shariah semakin diperkukuhkan. Perdebatan kemudiannya merujuk kepada apa yang dimaksudkan dengan “bidang kuasa Mahkamah Shariah”.

Kini setelah hampir dua puluh tahun pindaan ini dilakukan, bukan sahaja pindaan ini yang dicabar, malah beberapa peruntukan lain secara tidak langsung turut menjadi pertikaian termasuklah apa yang disifatkan sebagai ciri-ciri asas kepada Perlembagaan Persekutuan. Beberapa akta dan mekanisme baru pula cuba diketengahkan untuk mencabar secara tidak langsung institusi-institusi yang telah diwujudkan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini, umpamanya institusi mufti dan pihak pentadbiran agama negeri-negeri. Keputusan Mahkamah Shariah dipertikaikan. Perjalanan pentadbiran agama negeri negeri diperlekehkan. Malah tanggungjawab keagamaan untuk mengawal moral dan akhlak umat Islam sendiri ditanggapi sebagai mengganggu “privacy” golongan-golongan tertentu dan berselindung di sebalik hak asasi manusia. Yang sedihnya, gelombang reformasi yang diharapkan dapat mengembalikan kemuliaan insan (karamah insaniyyah) semakin karam dalam agenda perebutan undi dan kuasa. Tegasnya, apa yang telah diperkukuhkan selama 50 tahun negara merdeka, kini sedang cuba dirungkai. Kita semakin kembali ke zaman ketika kita dijajah.

Fenomena murtad dan implikasinya menjadi isu hangat yang mencabar keputusan dan kedudukan Mahkamah Shariah. Hal ini menjadi lebih sulit sekiranya disulami dengan campurtangan politik dan ketidakcekapan (incompetence) birokrasi. Ada pula yang mengambil untung dari kemelut kekeluargaan yang timbul berikutan fenomena murtad dan perceraian ini. Apakah kepentingan mereka ini adalah untuk mendamaikan perpecahankeluarga atau mengambil kesempatan politik (political mileage)? Apa yang berlaku kini cuba ditunjuk-tunjukkan sebagai permulaan satu perpecahan besar yang sudah tidak terelak, hanya retak menanti belah. Bagaikan kaum-kaum tertentu dihimpit, didiskriminasi habis-habisan tanpa belas kasihan dan dianiayai manakala kaum-kaum lain begitu zalim menguasai dan mendominasi. Sedangkan nilai-nilai yang menyatukan pelbagai kaum jauh lebih banyak dari yang membezakan mereka. Sesetengahnya pula begitu alergik dengan istilah-istilah kemelayuan dan Islami. Manakala sesetengah yang lain pula melihat sesuatu hanya menerusi kaca mata politik. Segala-gala dihitung melalui untung rugi politik dan perspektif perkauman sempit.

Sudah tidak ada lagi yang sanggup berlapang dada.Hari ini apa yang disifatkan berlapang dada ialah mengorbankan prinsip asasi yang mendefinisi seseorang. Sedangkan sebenarnya kita perlu bersatu dalam soal-soal yang dibolehkan dan berlapang dada dalam soal-soal prinsip yang memerlukan kita berbeza. Yang penting bukannya berbeza atau tidak berbeza; tetapi memahami di mana titik-titik perbezaan tersebut dan memastikan kita tidak akan berpecah hatta ketika kita berbeza.Sememangnya kita bersetuju dengan pandangan ramai pihak untuk kita mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah seruan YM Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak pada 3 April 2007 ketika menyampaikan ucaputama di Young Malaysians’ Roundtable Discussion on National Unity and Development in Malaysia: Prospects and Challenges for Nation Building. Di dalam ucaptamanya, beliau juga menganjurkan agar semua mengamalkan sikap kompromi (compromise) dan akomodasi (accommodation) ketika begitu ramai enggan berkorban dan hanya ingin menang serta mendominasi.

Malah, ramai yang masih tidak mahu menerima hakikat bahawa Mahkamah Shariah adalah setaraf dengan Mahkamah Sivil, sebagaimana yang telah diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan sejak hampir 20 tahun lalu. Ketika golongan-golongan ini bersetuju dengan pendirian untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, pada masa yang sama, mereka menafikan kedudukan dan peranan Islam di dalam Perlembagaan. Sesungguhnya kedudukan Islam tersebut bukannya sekadar hiasan. Ia perlu diagendakan. Usaha untuk menterjemahkan Islam dalam dasar pentadbiran dan sebagainya tidak boleh diharapkan ke atas mereka yang sinis dengan potensi dan peranan Islam meskipun mereka beragama Islam. Di atas pertimbangan tersebut, demi memastikan tiada sebarang pencapaian generasi lampau dalam mengukuhkan peranan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, beberapa usaha perlu difikirkan. Pertama, sebuah gerakan pencerdasan undang-undang kepada masyarakat Islam perlu diusahakan.

Ia perlu menjelaskan tentang hak dan keperluan mempertahankan serta melaksanakan peruntukan Perlembagaan khususnya yang bersangkutan dengan Islam. Gerakan pengilmuan ini lebih menjamin keberkesanannya pada tempoh jangka panjang. Kedua, sebab-sebab yang mendorong fenomena murtad berlaku perlu didalami dengan mengkaji apakah mereka terdorong murtad kerana ketidakyakinan mereka kepada Islam atau sebab-sebab lain yang belum kita ketahui. Seandainya ia disebabkan oleh ketidakyakinan mereka, maka cara bagaimana mereka mempelajari Islam dan bagaimana masyarakat Islam mendekati mereka perlu diperkemaskan. Akhirnya yang menjadi keutamaan kita ialah proses pengilmuan dan pendakwahan. Hanya inilah benteng ketahanan yang paling ampuh yang boleh dibina di dalam setiap diri penganut Islam, tanpa sebarang pindaan kepada mana-mana peruntukan Perlembagaan!

Thursday, July 2, 2009

Berpuasa di Bulan Rejab



dari: almukminun.blogspot.com
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه


Berpuasa di Bulan Rejab

Imam al-Nawawi (rahimahullah) menyebut:

“Tiada larangan dan tiada juga galakkan berhubung dengan bulan Rejab itu sendiri,
walaubagaimanpun:
• berasaskan bahawa pada prinsipnya berpuasa itu sendiri merupakan suatu amalan yang
dipuji, dan
• di dalam Sunan Abu Dawud, Rasulullah telah menggalakkan berpuasa di bulan-bulan
Haram, dan bulan Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan Haram.
Hadith Berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab

[1] `Uthman ibn Hakim al-Ansari berkata: "Aku bertanya Said ibn Jubair berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab, dan kami sedang berada di bulan Rejab, dan beliau berkara: “Aku
mendengar Ibn ‘Abbas berkata: “Rasulullah pernah berpuasa berterusan sehingga kami menyangka bahawa beliau tidak akan berbuka samasekali, dan beliau juga [ada ketikanya] tidak berpuasa berterusan sehingga kami menyangka bahawa beliau tidak berpuasa samasekali.”

.[Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Dawud dalam Kitab al-sawm, dalam bab berpuasa di bulan selain dari bulan Ramadhan, dan berpuasa di bulan Rejab].

Imam Nawawi seterusnya berkata bahawa:
"Berdasarkan hadith Said ibn Jubair dari Ibn `Abbas itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa berpuasa di bulan Rejab itu sendiri tidaklah dilarang dan tidaklah juga digalakkan secara khususnya, namun, ianya tertakluk kepada kaedah sepertimana berpuasa di bulan-bulan lain. Tiada dalil khusus yang mensabitkan secara nyata bahawa berpuasa di bulan Rejab itu dilarang mahupun digalakkan, namun berdasarkan
prinsip bahawa berpuasa itu sendiri merupakan amalan perbuatan yang digalakkan dan di dalam Sunan
Abu Dawud (*) menyebut bahawa Rasulullah telah menjadikan berpuasa di bulan-bulan Haram adalah
amalan terpuji, maka bulan Rejab yang merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram, berpuasa di bulannya turut digalakkan. Wallahu alam.”
[Imam Nawawi, Sharh Sahih Muslim Kitab 13 Bab 34 #179]
(*) Di dalam Sunan Abu Dawud pada Kitab al-Siyam, pada Bab “Berpuasa di bulan-bulan Haram”, juga di dalam Ibn Majah dan Ahmad, di mana hadith seorang lelaki yang mengulangi kata-katanya kepada Rasulullah : "Aku boleh menanggung lebih dari itu," dan Rasulullah akhirnya bersabda:

"Berpuasalah di bulan-bulan Haram."

Ianya juga sabit bahawa Ibn `Umar berpuasa di bulan-bulan Haram. [lihat Musannaf `Abd al-Razzaq 4:293, Musannaf Ibn Abi Shayba 1:125]

[2] Abdullah, seorang hamba yang dibebaskan oleh Asma’, anak perempuan kepada Saidina Abu Bakar al-Siddiq, merupakan bapa saudara kepada anak ‘Ata melaporkan bahawa "Asma' telah mengutusku kepada Abdullah ibn `Umar dan berkata: "Telah sampai kepadaku bahawa kau mengharamkan tiga perkara: jubah berjalur, kain pelana diperbuat dari sutera merah dan berpuasa penuh di bulan Rejab.” Abdullah menjawab: "Adapun berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab, bagaimana pula kiranya seseorang itu berpuasa sepanjang waktu? Adapun berhubung dengan pakaian berjalur, aku mendengar `Umar ibn al-Khattab berkara bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang memakai pakaian diperbuat dari sutera, tiada
baginya saham buatnya di Hari Akhirat kelak." Dan aku khuatir jalur juga termasuk sebahagian darinya.

Adapun berhubung dengan kain pelana merah, nah! ini adalah kain pelana Abdullah dan ianya adalah merah. Aku kembali kepada Asma’ dan memaklumkan kepada beliau, lalu beliau berkata: "Nah! Ini adalah jubah Rasulullah ," dan beliau keluarkan dan tunjukkan kepadaku jubah yang diperbuat dari kain Parsi dengan dihiasi dari jalur-jalur sutera, dengan bahagian hujung tangan jubah itu juga dihiasi sutera dan berkata: "Ini adalah jubah Rasululah bersama `A'ishah sehingga beliau (Aishah) meninggal dunia, kemudiannya aku memilikinya. Rasulullah pernah memakainya dan kami membasuhnya kepada orang sakit supaya mereka dapat
disembuhkan dengan sebabnya."

[Diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab al-Libas]
Imam Nawawi seterusnya berkata: "`Jawapan Ibn Umar di atas berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab itu adalah merupakan penafian beliau terhadap apa yang didengari oleh Asma’ kononnya beliau mengharamkannya, dan penegasan beliau bahawa beliau berpuasa penuh di bulan Rejab dan juga berpuasa sepanjang waktu, kecuali pada Hari Raya dan Tashriq. Ini adalah mazhab beliau dan mazhab bapanya, Saidina`Umar ibn al-Khattab, `A'isyah, Abu Talhah, dan lain-lain di kalangan Salaf, begitu juga Imam Shafi`e dan lain-lain. Pendirian mereka ialah puasa secara berterusan itu bukan sesuatu yang makruh.

[Pandangan lain Ibn ‘Umar melalui hadith diriwayatkan Ahmad di dalam kitabnya "al-Mughni" 3:167, di mana beliau tidak menggalakkan berpuasa sepenuhnya di bulan Rejab, tetapi berkata:

“Berpuasalah sebahagiannya, dan berbukalah sebahagiannya.”]
* * * * *
Imam Nawawi seterusnya menambah: "Hadith ini adalah dalil bahawa digalakkan mengambil berkat dari barang peninggalan dan pakaian para solehin. (wa fi hadha al-hadith dalil `ala istihbab al-tabarruk bi āthār al-salihīn wa thiyābihim)."
[Sharh sahih Muslim Kitab 37 Bab 2 #10]

[3] Bayhaqi meriwayatkan dalam Shu`ab al-iman (#3802):
Abu Abdallah al-Hafiz dan Abu Muhammad ibn Abi Hamid al-Muqri telah berkata:
dari Abu al-`Abbas al-Asamm,
dari Ibrahim ibn Sulayman al-Barlisi,
dari Abdallah ibn Yusuf,
dari`Amer ibn Shibl,
yang berkata: "Aku mendengar Abu Qilabah berkata:

"Di sana ada suatu tempat di Syurga untuk mereka yang berpuasa di bulan Rejab.”

Imam Bayhaqi seterusnya menambah: "Walaupun ianya mawquf setakat Abu Qilabah (tidak sampai kepada Rasulullah), yang merupakan salah seorang Tabi’in, dia sesungguhnyya tidak mengucapkan sedemikian itu melainkan pernah mendengarnya dari orang yang pernah mendengar orang yang diturunkan kepadanya wahyu (iaitu Rasulullah ), dan kejayaan itu adalah dari Allah jua."
Selawat dan Salam buat Junjungan Rasulullah , kaum keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda.

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

GF Haddad ©

-Siap diterjemahkan dengan izin Sheikh Gibril Fuoad Haddad oleh Abu Afaf pada hari ini, 27/07/2006, bersamaan 2 Rejab 1427 di Edinburgh, Scotland-

Diambil;
http://www.mindamadani.my/content/view/164/4/

Wednesday, July 1, 2009

MEMAHAMI KONSEP ISTISYHADIAH







Allah berfirman dalam surah at Taubah ayat 111 bermaksud:

إِنَّ اللهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

Allah telah menyebut dan menyatakan dalam al Quran perihal jihad sebagai satu jual beli yang punyai pengertian yang sangat mendalam. Juga telah disebut di dalam kitab-kitab sebelum daripada al Quran sama ada at Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s ataupun al Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s. Semuanya menyeru kepada satu bentuk jual beli yang dinamakan jihad menggunakan harta atau nyawa. Allah akan membeli kedua-duanya dengan harga yang sangat mahal iaitu syurga.



SYAHID DAN ISTISYHADIAH

Sebab dinamakan syahid

Sebelum kita melihat pengertian syahid maka eloklah kita mengetahui punca dinamakan syahid. Dalam hal ini Ibnu Hajar telah menyebut sebanyak empat belas pendapat manakala Imam Nawawi menyatakan sebanyak tujuh pendapat.

Al Anbari mengatakan dinamakan syahid kerana Allah dan malaikatNya menjadi saksi kemasukannya ke dalam syurga. Dikatakan juga kerana seseorang syahid itu hidup dan seolah-olah ruhnya menyaksikan. Ada juga pendapat lain yang mengatakan sebabnya ialah tiada yang menyaksikan saat kematiannya melainkan malaikat Rahmat dan banyak lagi pendapat-pendapat lain.

Namun, yang dikehendaki dengan syahid di sini ialah yang terbunuh fi sabilillah, kerana para syuhada’ itu pelbagai jenis sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sohih Bukhari:

الشهداء خمسة ؛ المطعون والمبطون والغرق وصاحب الهدم, والشهيد فى سبيل الله



Pengertian Syahid

Syahid berasal daripada kalimah (شهد ) bermaksud orang yang terbunuh atau dibunuh fi sabilillah (dijalan Allah). Dikatakan seseorang itu mati syahid. Kata jama’nya ialah syuhada’. Mazhab yang empat juga telah menta’rifkan pengertian syahid ini berdasarkan hujjah masing-masing, tetapi semuanya sepakat dalam menyifatkan seseorang yang dibunuh atau mati fi sabilillah.

Manakala istisyhadiah pula ialah perihal meminta syahid dengan mendedahkan dirinya untuk dibunuh atau terbunuh fi sabilillah. Kaedah Bahasa Arab menyatakan, sesuatu kalimah yang ditambah dengan huruf sin membawa maksud permintaan dan kehendak.

Oleh itu, timbul perdebatan yang hangat di kalangan para ulama’ dan ilmuan Islam tentang perkara ini khususnya yang berlaku di kalangan rakyat Palestin yang telah meletupkan tubuh badan mereka di tengah-tengah Yahudi. Sebahagian mereka mengatakan ia adalah istisyhadiah dan sebahagian yang lain pula mengatakan ia adalah intihariah (bunuh diri). Pendapat yang kedua diperkuatkan dengan firman Allah yang berbunyi:


وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللهِ وَلاَ تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ


Maksudnya: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Oleh hal demikian, kita ingin melihat dengan ilmiah dalam menilai perkara ini berdasarkan sumber Ilahi bukannya mengikut hawa nafsu dan kedangkalan hati.



HUKUM DAN SYARAT


Daripada perbincangan dan pengertian di atas dapatlah kita faham bahawa wujudnya perbezaan di antara istisyhadiah dan intihariah (bunuh diri). Oleh itu kita akan simpulkan kepada beberapa noktah penting untuk kita menghukum sesuatu perbuatan itu termasuk dalam kategori intihariah atau pun jihad iaitu istisyhadiah sebagaimana berikut:


Perkara pertama:

a) Islam menegah seseorang bercita-cita untuk mati dengan sebab keduniaan daripada kesusahan dan kecelakaan, namun Islam menggesa umatnya supaya berazam untuk mati syahid di jalan Allah sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w dalam Sohih Muslim yang berbunyi:
من سأل الله الشهادة بصدق بلغه الله منازل الشهداء وإن مات على فراشه

b) Tidak boleh bagi seorang manusia mendedahkan dirinya kepada kebinasaan dengan sebab-sebab keduniaan seperti membenarkan orang lain membunuhnya, bahkan Imam al Qurtubi dalam tafsirnya mengkategorikan ia sebagai bunuh diri, kecuali jihad melawan musuh-musuh agama Islam. Walaupun ia juga mendedahkan diri kepada kebinasaan tetapi ia merupakan suruhan Allah dan RasulNya.


Perkara kedua:

Perbuatan yang mendedahkan diri kepada kehancuran untuk menakutkan dan menyerang musuh dengan niat untuk meninggikan kalimatullah tidak dianggap sebagai bunuh diri mengikut kebanyakan ulama’ empat mazhab. Para ulama’ sebelum ini hanya membincangkan tasabbub sahaja dan meninggalkan zat dalam perkara pembunuhan serta meyerang musuh, namun pada hari ini zat diri manusia itu sendiri sudah perlu untuk dijadikan senjata pula bagi mencapai maksud menakutkan dan menyerang musuh.


ISTISYHADIAH SEPANJANG SEJARAH



Pertama: Kisah Ashab al Ukhdud

Firman Allah taala dalam surah al Buruj ayat keempat hingga kesembilan menceritakan satu kisah yang berlaku sebelum kebangkitan nabi Muhammad s.a.w. Ia juga telah tafsirkan berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang agak panjang dalam kitab Riyadh as Solihin karangan Imam Nawawi riwayat Suhaib yang dikeluarkan oleh Imam Muslim. Kisah ini masyhur dengan nama Ashab al Ukhdud (parit).

Seorang ghulam yang telah menyebabkan kemasukan masyarakat pada zaman itu ke dalam agama Islam secara beramai-ramai setelah dihukum mati oleh raja. Hukuman yang dijatuhkan gagal mematikan ghulam ini melainkan dengan menyebut nama tuhan ghulam tersebut. Ia telah disaksikan oleh rakyat jelata dan mereka semua telah memeluk Islam. Lalu digali parit dan dinyalakan api dengan maraknya bagi dimasukkan sesiapa sahaja yang masih beriman dan enggan kembali kepada ajaran lama mereka. Seorang demi seorang terjun dan masuk ke dalam parit api tersebut sehinggalh giliran seorang ibu bersama anaknya yang masih kecil. Timbul ragu-ragu dihati ibu ini dan dengan takdir Allah bayi itu berkata: wahai ibuku, ibu bersama orang-orang yang benar. Lalu terjunlah ibu bersama bayinya ke dalam api.

Jadi persoalannya sekarang adakah yang berlaku kepada orang yang beriman bahkan ibu bersama bayinya yang terjun ke dalam api tersebut dikira bunuh diri?


Kedua: Peristiwa peperangan Badar

Rasulullah s.a.w bersabda ketika perang Badar yang berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadhan tahun kedua hijrah :
والذى نفس محمد بيده فإنه لا يقاتل اليوم رجل مقبل غير مدبر إلا أن يدخله الله الجنة

Maksudnya : Dan demi diri Muhammad yang berada di tangannya, tiadalah seorang lelaki yang berperang pada hari ini mara tanpa berundur melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.

Apabila seorang sahabat yang sedang makan buah kurma mendengar hadith ini, dia pun berkata maksudnya : tak ada yang menghalang aku daripada masuk syurga melainkan buah kurma yang masih ada ditanganku. Lantas dia mengambil senjata dan masuk ke dalam kumpulan musuh seorang diri sahaja dan akhirnya dia telah dibunuh.

Peristiwa ini berlaku di hadapan Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang lain tanpa ada seorang pun yang mengingkarinya. Ini menunjukkan perbuatan sahabat tersebut bukanlah perbuatan membunuh diri bahkan istisyhadiah yang Allah akan mengganjarinya dengan syurga kelak.


Ketiga: Khalifah Abu Bakar memerangi murtad

Khalid al Walid (pedang Allah dan RasulNya) yang ditugaskan mengepalai tentera Islam pada waktu itu untuk memerangi golongan murtad telah mengarahkan supaya membuat kepungan dan sekatan makanan. Golongan ini dipimpin oleh Musailamah al Kazzab dengan bantuan Sijah berada dalam sebuah kota.

Muncul seorang pemuda bernama Thabit bin Qis bin Syamas membuat tawaran kepada Khalid bin al Walid untuk dipergunakan dirinya dalam peperangan tersebut. Mengikut sejarah, pemuda ini pernah menderakan dirinya dengan mengurung diri dalam rumah kerana telah meninggikan suaranya di hadapan Rasulullah s.a.w. Dia menganggap dirinya akan masuk neraka selepas turunnya ayat dalam surah al Hujurat ayat kedua. Lalu Rasulullah pun memanggil pemuda ini dan bersabda:

أ ما ترضى أن تعيش حميدا وتقتل شهيدا وتدخل الجنة وأنت من أهل الجنة

Maksudnya: Apakah kamu tidak redha hidup dalam keadaan baik, dan mati dalam keadaan syahid dan kamu akan masuk syurga dan kamu adalah ahli syurga.

Selepas itu dia sentiasa berulang-alik ke masjid menunaikan ibadah. Dan dalam memerangi golongan murtad ini dia telah membuktikan kata-kata Rasulullah dengan mengorbankan dirinya untuk Islam lalu berkata kepada Khalid membuat tawaran: letakkan diri saya dalam minjanik (alat untuk membidas dan melontar), untuk saya buka pintu kota dari dalam, lontarkan diri saya dan saya akan mengamuk di dalam kota sehingga saya buka pintu kota. Dalam kejadian ini, Thabit mengalami cedera parah dan telah dibunuh mati syahid. Dia juga sempat membuka pintu kota sehingga tentera Islam berjaya masuk ke dalam kota dan Musailamah telah dapat ditawan dan dibunuh. Jadi adakah boleh kita katakan perbuatan Thabit ini sebagai bunuh diri?


Keempat: Khalifah Umar berhadapan dengan Rom

Saidina Umar ketika menjadi khalifah telah melantik Abu Ubaidah ‘Amir bin Jarah (aminul ummah) sebagai panglima perang yang baru menggantikan Khalid bin al Walid. Tentera Islam akan berhadapan dengan tentera Rom yang ramai jumlahnya iaitu di antara 400 hingga 500 ribu orang.

Apabila pasukan hadapan tentera Islam yang disusun oleh Khalid al Walid pecah dan kucar kacir, Ikrimah Abu Jahal (telah masuk Islam) telah melemparkan perisai dan sarung pedang yang ada di tangannya. Lalu ditegur oleh Khalid al Walid: bukan begitu wahai Ikrimah!. Ikrimah pun berkata: jangan larang aku! Siapa yang sanggup mati bersama aku? Lebih kurang 400 tentera Islam telah memegang tangan Ikrimah untuk berbai’ah. Lalu mereka pun mara ke hadapan masuk ke tengah-tengah musuh. Melihat keadaan ini, tentera Rom menjadi gerun dan takut lalu mereka berundur dengan sebab 400 orang ini. Ikrimah dan 400 tentera Islam yang lain telah terkorban dan mati syahid dalam peristiwa tersebut.

Persoalan juga timbul di sini, adakah perbuatan Ikrimah dan tentera Islam yang berbai’ah dengannya dianggap bunuh diri?


Kelima: Pembukaan Kostantinopal

Setelah Bizantin jatuh ke tangan umat Islam pada zaman Khalifah Umar al Khattab, Kostantinopal (sekarang Istanbul) telah dijadikan pusat Rom timur yang baru. Khalifah Uthman telah menubuhkan tentera laut pada zamannya dan mengarahkan tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ayyub al Ansari untuk membuka Kostantinopal. Ini kerana percaya kepada sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير هو الأمير ولنعم الجيش ذلك الجيش

Maksudnya: akan dibuka Kostantinopal, sebaik-baik raja adalah raja pada waktu itu dan sebaik-baik tentera ialah tentera tersebut.

Menurut riwayat daripada Tirmizi dalam peperangan ini ada seorang tentera yang yang berada di tengah-tengah musuh seorang diri berlawan dengan mereka. Tentera Islam yang lain pun mengatakan : maha suci Allah, dia telah mencampakkan dirinya kepada kebinasaan!. Ini berdasarkan firman Allah yang berbunyi:

وَلاَ تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Mendengar kata-kata ini Abu Ayyub al Ansari pun bangun dan berkata maksudnya: wahai manusia, kamu telah menta’wilkan ayat ini sedangkan ayat ini diturunkan kepada kami golongan ansar, apabila Allah telah memuliakan Islam dan ramai pendokongnya maka berkata umat Islam sesama mereka: harta benda kita telah hilang dan Allah sekarang telah memuliakan Islam serta ramai yang mendokongnya, jadi kalau kita tidak menjaga dan menyimpan harta kita nescaya akan hilanglah sekali lagi. Maka turunlah ayat ini kepada Rasulullah s.a.w sebagai menjawab perbualan sahabat tadi. Jadi maksud kebinasaan yang sebenar di dalam ayat ini ialah sibuk menjaga harta dan meninggalkan peperangan.

Abu Ayyub sendiri sentiasa berada dalam medan peperangan fi sabilillah sehingga dia dikebumikan di Kostantinopal. Jadi dapatlah kita nyatakan perbuatan seorang sahabat tadi yang masuk ke tengah-tengah musuh seorang diri bukanlah perbuatan membunuh diri sebagaimana yang disalahtafsirkan.


PENDAPAT DAN FATWA ULAMA’


Dalam merujuk pandangan dan fatwa para ulama’ berkaitan perbincangan ini, kita dapati terdapat pelabagai persepsi yang memerlukan huraian yang lebih panjang terutamanya syarat-syarat yang diletakkan oleh mereka. Hal ini demikian berikutan keanjalan hukum feqah itu sendiri yang berbeza-beza dari satu tempat ke tempat yang lain dan dari seseorang dengan seseorang yan lain yang melambangkan kesesuaian hukum Islam di semua tempat dan zaman.

Oleh itu, kita hanya mengambil beberapa tokoh ulama’ yang terkenal sahaja sebagai asas dan bahan rujukan kita di sini. Menurut Dr Wahbah Zuhaili yang merupakan Ketua Jabatan Feqah dan Usulnya di Fakulti Syariah Universiti Damsyiq bahawa ia merupakan satu keharusan dengan izin Allah kerana perbuatan seumpama ini menjadi satu keperluan syara’ pada hari ini.

Manakala Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al Buthi Ketua Jabatan Aqidah dan Adyan Fakulti Syariah Universiti Damsyiq pula mengatakan bahawa kerja ini dibenarkan dalam Islam seratus peratus dengan syarat berniat untuk mengahapuskan musuh.

Dr Yusof al Qorodhowi menyebut kerja ini dikira sebagai sebesar-besar jihad di jalan Allah dan ia merupakan perbuatan menakutkan musuh yang dijelaskan dalam al Quran. Manakala Syeikhul Azhar Dr Muhammad Said Tantawi pula (selepas merujuk fatwa yang lama) mengatakan bahawa jangan kita kata kepada seseorang yang meletupkan dirinya adalah bunuh diri tetapi dia adalah syahid kerana telah meyerahkan jiwa raganya di jalan Allah.


Khatimah...

Kesimpulannya dapatlah kita nyatakan bahawa konsep istisyhadiah perlu kita fahami dengan sedalamnya kerana ia bukan suatu perkara yang baru dalam Islam tetapi telah berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam terdahulu. Kekeliruan kita dalam memahami perkara ini akan menyebabkan kesilapan dalam menilai dan kecelaruan dalam memberikan kenyataan.

AKU BIMBANG, AKU KHUATIR...


Aku sungguh bimbang sekali
Bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi

Bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap bidang
Bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang
Bukan kerana suasana politik yang tiada aman

Bukan kerana rakyat jelata malas berusaha siang malam




Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi,
Kerana pemimpin berwibawa di setiap bidang tidak didengarkan
Suara mereka yang berani-benar tentu tidak menyedapkan
Cadangan mereka mengislahkan perkara mengambil masa
Bukan untuk cepat mencari untung mengira laba
Bukan juga untuk menangi pilihan raya kan tiba
Bukan untuk menagih liputan media massa
Hanya inginkan kejayaan berkekalan
Mendapat keredhaan di dua kehidupan




Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi,
Kerana pertumbukan ekonomi cemerlang tidak digunakan
Untuk mengukuh akhlak tinggi di peringkat atasan
Yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan
Yang takabbur lalu merendah bidang tak menguntungkan.





Aku takut umat kita tidak akan bangkit lagi

Walau ekonomi melambung tinggi
Umatku sibuk membeli saham menjual budi
Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkatkan gaji
Universiti tidak dinilai secara insane, hanya patuh nafsu industri
Yang sering berubah mengikut pasaran
Pasaran berubah mengikut perasaan.





Aku bimbang walaupun suasana politik begitu aman
Rakyatku sentiasa ditakutkan dengan cerita khayalan
Tidak berani menyata kata walau hak didusta selalu
Tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng melulu
Tidak malu membuat fitnah walau berada di pintu Kaabah
Tidak gentar pada al-Haqq kerana takut hilang anugerah.





Aku bimbang umatku tidak akan bangkit lagi
Kerana yang malas selalu diganjari
Kerana pandai memuji tinggi
Kerana terlalu tunduk mematuhi
Tanpa mengira ajaran amaran Ilahi
Tanpa mengikut undang-undang negeri
Ulama dapat dibeli, hakim dapat ditakuti.





Bagaimana kita akan bangkit semula melawan musuh
Jika ayam jantan yang senang berkokok setiap subuh
Membuka mata bangsa, menjernihkan yang lama keruh
Dipotong lidahnya, disepak terajang si anak bodoh?






Aku sungguh bimbang kita akan terus begini
Kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi
Tata-cara sekolah rendah diguna-pakai di universiti tinggi
Kaedah mengurus wang dipertuhankan, dianggap suci
Diguna membangun insan, menilai sumbangan ulama dan Nabi.





Kita akan terus begini seribu tahun lagi
Kerana tabiat buruk membazir sentiasa diulangi:
Suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap
Membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap
Menebang pokok meranti tinggi, rendang dan tegap
Semata-mata kerana benci, dengki dan hasad!





Bagaimana kita akan bangkit semula
Memimpin dunia mendapat syurga?
Jika ibu-bapa pintar melahir anak cuma
Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja
Jika guru, pensyarah kehilangan arah
Ilmu terpaku di dada ijazah
Jika peniaga bermain politik,bertuhankan laba
Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala
Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar
-Cekap mengubah fakta, meminda makna, mengejar kuasa
Adam akan menyesal Dan Iblis berkenduri besar.




Sebuah karya Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud