Wednesday, October 14, 2009

MISI MEMBANTERAS KEBEJATAN ADAB GENERASI MUDA

Dalam meniti hari-hari akhir di bulan Syawal yang disifatkan sebagai bulan kemenangan umat Islam ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) rasa terpanggil untuk menyatakan rasa dukacita yang sangat dalam apabila melihat akan perilaku generasi muda hari ini yang sudah tandus akhlak dan adabnya. Laporan akhbar Harian Metro yang bertarikh 14 Oktober 2009 mendedahkan kegiatan tiga beradik yang menganjurkan pesta maksiat bersama pasangan mereka di sebuah pangsapuri yang disewa di Putrajaya. Lebih menyedihkan, kegiatan itu membabitkan tiga gadis bawah umur yang sepatutnya menumpukan pelajaran di sekolah. Berita seumpama ini hanyalah sekelumit daripada ribuan permasalahan generasi muda hari ini. Bahkan, mungkin ada yang menyifatkan berita seperti ini adalah picisan kerana di sana masih banyak lagi masalah yang lebih serius melibatkan generasi muda dalam pelbagai kegiatan jenayah. Walau apa sekalipun, perkara pokoknya tetap sama. Anak muda hari ini khususnya bangsa Melayu telah dirempuh dengan kebejatan akhlak dan adab yang sangat besar.

Selain itu, baru-baru ini Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed telah membuat kenyataan berkenaan dengan jumlah penagih dadah di kalangan wanita di negara ini meningkat sebanyak 1.7 peratus iaitu seramai 263 orang yang ditangkap berbanding tahun lalu. Jumlah ini dianggap serius kerana ia melibatkan golongan wanita yang berumur seawal 18 tahun. Bukti lain yang menunjukkan betapa seriusnya masalah penagihan dadah di kalangan wanita di negara ini adalah dengan wujudnya satu pusat serenti wanita yang dibina di Bachok, Kelantan, yang dikenali sebagai Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen). Lanjutan daripada itu, beliau juga menyatakan sehingga September lalu, seramai 2,762 penagih dadah dikesan dengan paling ramai direkodkan di Kuala Lumpur yakni berjumlah 577 orang atau 20.97 peratus dan diikuti Kedah seramai 574 orang atau 20.86 peratus. Nah, apakah kita masih lagi mahu pasif dan perlu bersikap apologetik dengan angka-angka di atas?

Pada hakikatnya, pelbagai cara atau ikhtiar telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa hinggalah kepada ibu bapa remaja yang terlibat demi membanteras permasalahan yang berlaku ini. Akan tetapi, persoalannya di sini apakah adab dan akhlak generasi muda dapat dikembalikan dengan bentuk hukuman semata-mata yang dijatuhkan atas kesalahan mereka? Adab hanya akan lahir menerusi penyemaian nilai-nilai murni berteraskan ilmu yang tepat terhadap seseorang individu sehingga lahirnya rasa pengiktirafan terhadap letakduduk segala sesuatu pada tempatnya yang benar. Tempat segala sesuatu sudah pasti bukan sahaja merujuk kepada tempat yang bersifat jasmani tetapi yang lebih penting kedudukan rohani seperti ketuhanan, kenabian, hari akhirat dan lain-lain dalam jiwa dan akal manusia. Justeru, PKPIM merasakan langkah terbaik bagi mencetuskan rasa beradab seperti ini adalah dengan medium pendidikan atau ta’dib (penyemaian adab dalam diri insan) terhadap generasi muda.

Dalam pada itu, PKPIM menyarankan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia agar memperkasa semula modul khas yang meliputi program motivasi, kesedaran, kerohanian, kekuatan minda dan jasmani yang telah dilancarkan di pusat korikulum daerah atau negeri tidak berapa lama dahulu. Hal ini penting demi menanam dan menjana semula sifat dan nilai murni yang sepatutnya ada dalam diri pelajar. Jika kita imbas sejarah, banyak sekali pengiktibaran yang membuktikan bahawa kekuatan fizikal, mental dan spiritual golongan muda pada usia inilah yang akan menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa. Pada usia inilah manusia berada di tahap paling optimum dalam kebangunan jasad dan mentalnya dalam menyumbang yang terbaik dari dirinya.

Pasti kita masih ingat akan sejarah betapa banyak tokoh-tokoh remaja yang melonjakkan diri mereka menjangkau pemikiran dan sumbangan golongan dewasa. Kisah al-Imam asy-Syafie yang mampu mengeluarkan fatwa tentang urusan agama pada usia 15 tahun, keunggulan Sultan Muhammad al-Fatih yang mengetuai ratusan armada kapal laut dalam misinya menawan kembali Kota Konstantinople yang pada waktu itu beliau hanya berusia 21 tahun serta Ibnu Sina yang menguasai bidang Kimia dan 8 bidang ilmu utama yang lain pada usia 21 tahun yang sehinggakan kitab karangan terkenalnya Qanun Fittib dicetak di dalam pelbagai bahasa di benua Eropah. Semua di atas dan banyak lagi contoh remaja belia yang tidak dinyatakan di sini adalah bukti betapa kebolehan berfikir di luar konteks usia dan menabur bakti bersungguh-sungguh adalah syarat yang membolehkan mereka diangkat dan dihormati oleh umat pada zaman mereka dan zaman ini.

Oleh itu, PKPIM mencadangkan agar pendekatan berhikmah dapat digunakan bagi membanteras kebejatan sosial yang melanda generasi muda terutama dalam menyelesaikan permasalahan yang mengakar seperti isu seks bebas, penyalahgunaan dadah, buli, gangsterisme, merokok, dan sebagainya. Pendekatan yang baru serta bersifat tidak terus menghukum dilihat lebih sesuai dan berkesan. Api jika dilawan dengan api sudah pasti akan memarakkan lagi konflik yang ada. Justeru dengan pendekatan berhikmah, teknik membawa mereka kembali menghayati gaya hidup murni dan beradab secara tidak langsung adalah amat perlu. Di samping itu, pembentukan ‘peer group’, atau rakan yang prihatin perlu dalam memastikan anak-anak muda yang bermasalah ini dihampiri, dijiwai dan disembuhi bersama-sama menerusi kaedah ‘Mentor-Mentee’. Teknik ini boleh dipimpin oleh seorang senior atau moderator kumpulan berpengalaman dari kalangan NGO belia yang boleh menjadi tempat untuk mengadu masalah dan berkongsi pengalaman hidup sesama ahli. Perasaan kasih-sayang yang terbit di dalam kumpulan ini diharapkan menjadi penebat kepada krisis akhlak yang berlaku. Biar kita tegas dalam prinsip, namun dalam masa yang sama berlembut dalam pendekatan yang digunakan.

Perlu diingat, keterbangunan sebuah bangsa adalah terletak di bahu generasi mudanya. Sungguh, kita akan terus gemilang di persada belia dunia jika kebejatan adab yang melanda ini dapat dibanteras seiring dengan pembangunan spiritual, mental dan fizikal dijadikan asas dalam membina barisan remaja yang punya upaya dan dipercayai. Justeru PKPIM dengan satu “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” menyeru agar seluruh masyarakat memfokuskan kepada usaha melindungi, mendidik seterusnya memastikan generasi muda negara akan terus dilihat berakhlak mulia dan berkarisma dalam memimpin negara kita pada masa akan datang. Allah S.W.T pernah menggariskan di dalam al-Qur’an, ayat ke-26 surah al-Qosas, bahawasanya di antara syarat pemilihan pemuda yang terbaik untuk bekerja demi membangunkan negara adalah mereka yang mempunyai al-Qawiyy al-Amin, atau mereka yang berupaya dan berwibawa.

Tuesday, October 6, 2009

PKPIM Lancar Tabung Kemanusiaan Ummat



Isnin-5 Oktober 2009 : Susulan dari malapetaka yang melanda umat Islam di negara jiran, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam malaysia (PKPIM) telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Ummat (Misi Pemulihan Padang) untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga mangsa.

Pada 30 September lalu, gempa bumi yang berukuran 7.6 Skala Richter telah melanda Pariaman, Padang yang telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada harta benda serta meragut ratusan nyawa dengan angka terkini seramai 603 telah disahkan terkorban oleh Badan Menangani Bencana Sumatera Barat, Indonesia.

Dalam pada itu, dua Gempa susulan awal pagi ini yang dicatatkan di Papua Barat dengan kekuatan 6.1 Skala Richter pada pukul 10.36 pagi waktu Indonesia Barat dan di Gorontalo, Sulawesi berukuran 5.3 Skala Richter juga telah memburukkan lagi keadaan.

Tabung Kemanusiaan Ummat ini bertujuan mengumpulkan dana yang secukupnya bagi menyediakan keperluan asas khususnya kepada mangsa di kawasan sekitar Pariaman yang masih terpinggir dari mendapat bantuan.

Tabung yang telah dilancarkan ini juga akan digerakkan di semua Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dan sekolah-sekolah di Malaysia. Maka, PKPIM berharap agar kempen kutipan bantuan kewangan ini akan mendapat sokongan penuh daripada semua mahasiswa dan pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) turut menghantar tiga orang sukarelawan bagi menjayakan misi pertama ke Padang awal pagi ini. Misi pertama ini akan memberi fokus kepada bantuan perubatan dan sokongan hidup mangsa gempa.

Bagi memastikan kelangsungan bantuan, PKPIM turut bekerjasama dengan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) dan Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia (HMI) bagi merangka dan mengemaskini bentuk bantuan yang sewajarnya diberikan.

Sementara itu, PKPIM yang turut menganggotai Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) telah menggesa badan induk itu untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan pelan pembangunan pasca tragedi.

“HIDUP BIAR BERJASA”

Monday, October 5, 2009

Televisyen Menghakis Kesucian 1 Syawal




Setiap tahun Aidilfitri datang dan pergi sebagai kurnia dan anugerah Allah kepada hambanya untuk meraikan kemenangan dalam mengahadapi dugaan setelah menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Maka saban tahun umat Islam bergembira merayakan Aidilfitri dengan mengamalkan tradisi balik ke kampung untuk menemui ayah bonda serta sanak saudara. Tidak kurang juga ada yang kunjung-mengunjung ke rumah jiran-jiran yang berdekatan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan jalinan persaudaraan sesama mereka.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari lebaran, kita sering kali dibudayakan dengan cara sambutan yang tidak wajar dan dilihat bertentangan dengan amalan sebenar dalam menyambut kedatangan 1 Syawal. Setiap tahun apabila menjelangnya Aidilfitri, pelbagai program dan pengisian yang berbentuk hiburan melampau disajikan oleh televisyen. Ia seolah-seolah tidak ubah seperti persaingan antara syaikat-syarikat media untuk mendapat tempat di hati masyarakat Islam di Malaysia dan bukan lagi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat. Akibatnya, pelbagai bentuk rancangan yang tidak wajar dipertontonkan menerusi televisyen bagi mengisi kekosongan Aidilfitri. Lantaran itu, hari mulia 1 Syawal telah dicemari dengan pelbagai bentuk hiburan melampau yang bertentangan dengan norma-norma serta nilai-nilai hidup bangsa dan agama kita.

Ia secara tidak langsung akan mengubah persepsi generasi muda yang tersalah faham dengan meletakkan televisyen sebagai teras utama dalam menyambut Aidilfitri. Sebagai contoh kebanyakan dari kita terlalu leka dengan sajian hiburan yang melampau sedangkan tanggungjawab sebenar dalam melakukan perkara-perkara yang dituntut seperti berziarah, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan sebagainya diabaikan. Tidak kurang ada yang sanggup menghabiskan sepanjang hari dengan pergi ke wayang untuk menonton cerita yang diuar-uarkan menarik sehingga melupakan amalan ziarah-menziarahi. Maka, dengan sajian-sajian sedemikian, akan menyebabkan terhakisnya nilai-nilai kemuliaan Aidilfitri sebenar yang dipraktikkan semenjak dahulu lagi sehingga menjadi amalan tradisi kita.

Seperti contoh, amalan ziarah sendiri yang bertujuan untuk saling mengenali antara satu sama lain gagal dicapai disebabkan masing-masing sibuk untuk menonton rancangan-rancangan televisyen yang menarik. Tujuan tetamu yang pada mulanya hadir untuk beramah mesra dan merapatkan hubungan yang terjalin dengan tuan rumah telah berubah sebaik saja rancangan yang menarik telah tersaji di rumah tuan rumah. Maka masing-masing mengalihkan perhatian dengan hanya memberikan tumpuan kepada apa yang disajikan televisyen. Tuan rumah pula tidak lagi mengutamakan adab-adab Islam dalam menghormati tetamu kerana tidak mahu ketinggalan untuk menonton setiap sajian yang menarik. Sedangkan menghormati dan memuliakan tetamu adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Nabi pernah bersabda: “ Siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya”. Di samping itu, nilai komunikasi sesama kita dalam bentuk beramah mesra, bertegur-sapa, saling bermaafan juga telah dibataskan.

Aidilfitri sebenarnya perlu diisi dengan laungan takbir dengan memuji kebesaran Allah dan tasbih sebagai tanda meraikan kemengan kita dalam menyempurnakan ibadat Ramadan. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda : “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid, dan taqdis”. Dalam masa yang sama, Aidilfitri juga menitik beratkan dua perkara asas iaitu pertalian ukhuwah sesama Muslim dan juga “tazkiyatun nafsi” atau pembersihan jiwa yang dibina menerusi madrasah Ramadan selama sebulan. Maka disini jelas, sekiranya Aidilfitri itu sendiri diisi dengan pelbagai bentuk kemungkaran, kemaksiatan, dan hiburan yang melampau, ia sememangnya bercanggah dengan tujuan dan cara sebenar dalam meraikannya.

Dalam pada itu, nilai spiritual atau kerohanian yang dibina melalui kejayaan Ramadan juga terhakis. Madrasah Ramadan yang dianjurkan agama khusus untuk melahirkan insan yang bertaqwa sukar direalisasikan ekoran pelbagai kemungkaran dan hiburan yang bertentangan dengan adat dan agama direncanakan menerusi televisyen. Meskipun begitu, saya secara peribadi ingin menyatakan sekalung pujian dan tahniah kepada pihak media terutama media elektronik dan media cetak tempatan yang dilihat banyak melakukan perubahan ke arah yang lebih baik untuk mendidik masyarakat terutama di bulan Ramadan yang lalu. Akan tetapi, sebaik saja berakhirnya Ramadan, pelbagai sajian yang tidak enak disajikan sehingga menyebabkan umat Islam menjadi lalai dan leka. Masing-masing hanya mengutamakan semangat hedonisme dalam merayakan Aidilfitri dan tidak lagi mengutamakan semangat untuk melakukan perubahan kearah kebaikan selepas keluar dari bulan Ramadan. Sedangkan Aidilfitri adalah salah satu medan bagi umat Islam untuk membuat perubahan dan penilaian diri dari semasa ke semasa.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Dato Seri Dr Harussani Zakaria yang pernah menyatakan bahawa sekiranya Aidilfitri disambut dengan method dan pengisian hiburan yang keterlaluan hukumnya adalah haram. Apabila jatuhnya hukum haram, maka sambutan Aidilfitri tidak lagi dianggap sebagai ibadah tetapi hanya adat tradisi yang bercanggah dengan agama.

Maka Aidilfitri pada hakikatnya harus disambut dengan melaksanakan ibadah-ibadah lain yang dituntut oleh Islam berserta dengan semangat iltizam untuk melakukan perubahan diri dan bukan hanya sekadar diisi dengan pelbagai bentuk hiburan keterlaluan yang melalaikan semata-mata. Kita seharusnya mengkaji semula adakah cara kita menyambut Aidilfitri ini boleh dianggap sebagai suatu yang diredhai Allah atau hanya sekadar mengundang kemurkaanNYA.