Thursday, March 18, 2010

MATI RASA, MASYARAKAT BINASA


Umum mengetahui bahawa sesebuah masyarakat yang baik dan tinggi tamadunnya tidak hanya lahir daripada kemajuan teknologi dan material semata. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana individu-individu dalam nukleus masyarakat itu yang punya ‘rasa’ dan kesedaran terhadap setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Kita khuatir, dengan rempuhan kuat permasalahan sosial kini mengakibatkan masyarakat sudah mati ‘rasa’nya dan mati jiwanya. Lebih ditakuti, masyarakat akan binasa dan negara tidak mampu lagi ‘bernyawa’.

Baru-baru ini seluruh negara dikejutkan dengan penemuan premis-premis yang membekalkan gajet-gajet seks secara haram secara terbuka di beberapa kompleks membeli-belah yang terkemuka di ibu negara. Tidak lama sebelum itu, kita hangat membincangkan tentang isu buang bayi yang kian menular dalam masyarakat. Nah, tentu sahaja kita dapat membayangkan hubung kait dua contoh permasalahan yang berlaku ini. Jika masih ada yang mahu bersikap apologetik dengan isu ini, maka ianya harus disingkirkan segera. Manifestasinya, kita bersyukur dengan dengan tindakan tegas pihak berkuasa yang mengambil langkah drastik bagi menyelesaikan masalah ini.

Namun begitu, seringkali menjadi persoalan di benak fikiran kita ialah sejauh mana masalah yang berlaku ini dapat sampai kepada noktah akhirnya? Langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dengan menutup serta merta premis-premis gajet seks itu adalah sesuatu yang harus dipuji dan dan diberi galakan untuk tindakan susulannya. Tetapi, adakah pengusaha premis serta pelanggan gajet-gajet ini akan terus senyap dan berhenti dari terus merosakkan masyarakat? Ibarat seperti kita merampas jarum suntikan dari tangan penagih dadah. Jika dibiarkan, pasti dia menggigil untuk mencari bekalan dadah lain biapun terpaksa mencuri hatta membunuh. Inilah yang menjadi kerisauan, apabila mereka yang tidak serik ini bakal bertindak secara alternatif dengan melakukan perkara seumpamanya dengan bersembunyi dari diketahui umum.

Justeru itu, selain diberi penekanan terhadap penutupan premis-premis ini, pihak berkuasa juga disaran memberikan perhatian serius terhadap penjualan aksesori dan gajet seks ini yang sudah mula bergerak aktif di laman maya atau secara online. Mengikut sumber yang didapati, ada sesetengah pengusaha premis terbabit membangunkan laman sesawang sendiri bagi tujuan menerima tempahan pelanggan melaluinya.Tempahan juga boleh diterima melalui khidmat pesanan ringkas dan e-mel selain melalui interaksi menerusi laman rangkaian sosial khas diwujudkan.

Pepatah Inggeris yang menyebutkan, “Sins at the fingertips” memang ada kebenaran, mana tidaknya, hanya dengan beberapa taipan kata kunci pada papan kekunci dan mengklik pada tetikus, dengan segera terpapar imej-imej yang diidamkan. Kini, dengan bebrapa klik juga ianya dapat menambahkan pendapatan kepada insan-insan yang tidak bertanggungjawab.

Tidak dinafikan, internet yang mula diperkenalkan lewat abad lalu, telah banyak menyumbang kepada penetapan landasan kemajuan sesebuah negara. Perniagaan maya, promosi barangan, kemudahan persidangan video dan bertukar-tukar idea ekonomi, dilihat mengangkat martabat internet sebagai wahana kemajuan tamadun manusia kini. Tetapi, bagaimana pula peranan internet untuk melahirkan tamadun keinsanan? Lihat sajalah di kafe-kafe siber, kemudahan internet pada sebahagian besar anak-anak muda hari ini tidak lain hanyalah sebagai ruang sembang kosong, bermain permainan visual secara local area network, memuat turun nada dering, melawat laman-laman yang mengghairahkan, dan terkini membeli aksesori dan gajet yang dapat meningkatkan nafsu untuk melakukan seks hanya untuk merasa kenikmatan yang sementara.

Dari sudut perlaksanaan undang-undang, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dilihat dapat ditingkatkan lagi penguasaannya bagi menangkap dan mendakwa pihak-pihak yang bertanggungjawab yang terlibat dalam penjualan serta penyebaran gajet-gajet seks ini di pasaran. Dalam masa yang sama, kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar mengesan laman sesawang yang menjalankan transaksi pembelian gajet seks secara maya serta mengarahkan penutupan transaksi berkenaan dengan segera agar budaya gejala seks bebas dapat dikurangkan.
Malah, peranan Kastam Diraja Malaysia (KDM) juga perlu diperkemaskan dari sudut kawalan di semua pintu masuk. Dengan memperketatkan kawalan masuk gajet-gajet seks ini yang kebanyakannya dari negara China dan Hong Kong, sedikit sebanyak ia akan mengurangkan lambakan gajet-gajet yang tidak senonoh ini di dalam masyarakat Malaysia khususnya generasi muda.

Walau apapun, dalam konteks hari ini, pemerkasaan masyarakat itu sendiri perlu diutamakan. Buatlah apa saja pun, dari penguatkuasaan undang-undang, pemberatan hukuman dan penegasan media massa untuk menyedarkan pengusaha premis kembali ke pangkal jalan, namun jika tiada usaha balas secara besar-besaran dari sasaran penjual, iaitu masyarakat, semuanya hanya tinggal penguatkuasaan. Perlu ada konsep timbal-balik atau “vice-versa” dalam hal ini. Penjual tidak akan terus menjual jika tiada yang membelinya. Tindakan kita yang hanya mengharap pemantauan pihak polis dan pihak berkuasa yang lainnya semata-mata wajar dikikis. Masyarakat harus ada rasa sedar, bahawasanya perkara sebegini dapat menghancurkan jiwa anak bangsa dan generasi akan datang. Biarlah sensitiviti sebegini melangit di kalangan masyarakat, jika kita mahu lihat generasi yang punyai masa hadapan yang cerah akan datang.

Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan penuh rasa insaf dan prihatin akan permasalahan umat, menyeru agar semua lapisan masyarakat tampil ke hadapan membantu usaha pihak-pihak berkuasa dalam membanteras masalah sosial terlampau ini. PKPIM juga menyeru agar nukleus masyarakat iaitu institusi keluarga diperkukuhkan demi memastikan ahli keluarga kita sentiasa dalam keadaan selamat dan bebas daripada terlibat dengan perkara negatif sebgini. Suasana kemesraan dan ‘ambilil tahu’ harus dibenihkan oleh ibu bapa untuk anak-anaknya, agar dengan bekal itu, kewaspadaan mereka akan ditingkatkan dengan ikatan ingatan dan kasih sayang yang berpanjangan dari penjaganya, di mana jua mereka berada.

Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad

Saturday, March 13, 2010

PKPIM GESA KERAJAAN BERTINDAK TEGAS TERHADAP FRANCAIS PREMIS MENJUAL AKSESORI SEKS SECARA TERBUKA


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap premis-premis yang menjual aksesori seks secara terbuka dan berleluasa. Premis-premis aksesori seks ini didapati menjual pelbagai produk seks seperti pil dan ubat-ubatan yang berbahaya serta diragui tahap keselamatannya, kondom, alat permainan seks dan lain-lain lagi.

PKPIM berpandangan bahawa penjualan secara terbuka yang dilakukan oleh premis tersebut secara tidak langsung telah menggalakkan perlakuan seks bebas khususnya di kalangan remaja masa kini. Maka, secara tidak langsung perlakuan seks bebas akan dijadikan budaya masyarakat kita tanpa kita sedari.

Sementara itu, dalam situasi masyarakat yang didedahkan dengan peningkatan bilangan kes penzinaan dan pembuangan bayi serta pelbagai gejala sosial yang kian parah, penjualan aksesori seks ini pasti akan memburukkan lagi keadaan sosial masyrakat Malaysia.

Dalam pada itu, PKPIM menyelar sikap penjual yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan mengambil sikap tidak kisah terhadap persoalan moral masyrakat memandangkan sikap seperti ini telah membantutkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara maju dari perspektif material dan spiritual yang di mana pada masa yang sama rakyatnya tetap teguh dan kukuh dengan pegangan nilai moral, adab dan agama masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, persoalan akhlak dan moral masyarakat perlu dititikberatkan agar ia tidak membawa bencana kepada negara suatu masa kelak. Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat mampu meruntuhkan dan membinasakan sesebuah negara dan tamadun.

Penyair Arab, Ahmad Syauqi pernah mengungkapkan dalam syairnya yang lebih kurang maksudnya, “Sesungguhnya kejayaan suatu umat (bangsa) terletak pada akhlaknya dan selagi mereka berakhlak, jika pada mereka telah hilang akhlaknya, maka akan jatuhlah umat (bangsa) ini.”

Sekretariat PKPIM Pusat

Tuesday, March 9, 2010

IKHTILAT: ASAS AGAMA & PERSOALAN


Realiti hari ini menyaksikan sikap dan adab pergaulan (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan sudah jauh dari ajaran Islam. Fenomena yang berlaku ialah pergaulan yang tidak lagi terbatas di antara lelaki dan wanita ajnabi telah membawa kepada akibat yang lebih buruk iaitu perzinaan. Apa yang lebih tragis, apabila manusia sudah hilang akal pertimbangan yang waras dan sifat-sifat manusiawi dengan timbulnya masalah buang bayi yang sangat ketara hari ini. Tidak dapat dinafikan hal ini sangat berkait rapat dengan masalah pergaulan bebas malahan ia menjadi punca utama dan faktor penyumbang kepada krisis moral yang berlaku.
Rata-rata masyarakat hari ini mungkin mempunyai pandangan dan pendapat yang tersendiri apabila membinbcangkan topik pergaulan (ikhtilat) ini. Akan tetapi, walau apa pun pendapat tersebut,ianya mestilah dikembalikan kepada dasar-dasar islam yang sesuai dengan zaman,masa dan tempat.
Jika kita kembali kepada sirah nabawiyyah, memang Rasulullah Saw sendiri memandang berat tentang pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah serta persentuhan.Ini dapat kita lihat, sebagaimana hadith daripada Hamzah bin Usaid Al-Ansari yang diriwayatkan daripada bapanya yang mendengar Rasulullah Saw bersabda,apabila melihat kaum wanita bercampur aduk dengan lelaki di tengah jalan :

عن أبي أسيد الأنصاري عن ابيه : أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول وهو خارج من المسجد فاختلط الرجالبحافا مع النساء في الطريق فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم للنساء : استأخرن ؛ فإنه ليس لكن أن تحققن الطريق ؛ عليكن بحافات


Yang bermaksud : Daripada Abi Usaid Al-Ansori daripada ayahnya : Bahawa dia (iaitu ayah Abi Usaid Al-Ansori) telah mendengar Rasulullah Saw bersabda, di mana ketika itu Rasulullah Saw berada di luar masjid, dan berlaku ikhtilat di kalangan lelaki dan perempuan ( di mana Rasulullah Saw melihat ikhtilat tersebut ) : " Kebelakanglah kamu,sesungguhnya kamu tidak boleh berada berada di tengah jalan,kamu mestilah berjalan di tepi jalan."

Dalam mempraktikan hadith Nabi Saw, para sahabiyyat telah menghampirkan diri mereka ke dinding, hingga ada riwayat mengatakan bahawa kerana terlampau rapat dengan dinding, ada di antara pakaian mereka yang tersangkut dengan dinding bangunan.

Beginilah Rasulullah Saw sebagai seorang pemimpin pada ketika itu,memastikan bahawa rakyatnya sentiasa hidup di dalam keadaan yang jauh dari fitnah dan perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak mujtama'.


MAKNA IKHTILAT ( الإختلاط)


Perkataan الإختلاط ini mungkin biasa kita dengar,iaitu maksudnya adalah bercampur.Dan biasanya digunakan untuk merujuk kepada suatu pergaulan yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai murni islam.Di sana ada perkataan lain yang digunakan untuk merujuk muamalat antara lelaki dan perempuan seperti لقاء - مقابلة مشارك. Namun memang di dalam kebanyakan kitab-kitab apabila membicara tentang perhubungan bebas,para ulamak akan menggunakan perkataan الإختلاط.

Dari sudut bahasa, perkataan الإختلاط berasal dari perkataan خلط yang memberi maksud bercampur iaitu مزج. Di dalam Al-Qamus Al-Muhit dijelaskan bahawa sesuatu yang bercampur dipanggil اختلط. Kalau ismu failnya adalah خالط. Dari sudut istilah pula, merujuk kepada pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim di suatu tempat yang membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain dengan pandangan atau isyarat atau percakapan. Apabila kita merujuk kepada definisi ini,apa yang dimaksudkan dengan ikhtilat adalah pergaulan bebas.

HUKUM PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN SERTA GARIS PANDUAN

Tidak dapat dinafikan bahawa muamalah di antara lelaki dan perempuan di dalam hidup ini adalah wujud. Lebih-lagi pada hari ini, situasi persekitaran yang memerlukan kerjasama dua hala di antara lelaki dan perempuan dalam segenap urusan harian. Apa yang lebih utama, keperluan hubungan antara kedua-dua pihak ini dalam menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, dakwah dan ilmu. Firman Allah SWT:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini menjelaskan bahawa lelaki dan perempuan yang beriman saling berkerjasama dalam menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar,maka sudah tentu di sana ada situasi-situasi yang memerlukan mesyuarat, perbincangan, percakapan dan sebagainya.

Dan apa yang harus kita fahami bahawa, walaupun begitu islam telah menetapkan garis panduan yang terperinci untuk menjaga perhubungan ini.Maka,garis panduan inilah yang menentukan sesuatu hubungan itu adakah bertepatan dengan syarak atau pun tidak.

Kalau kita mengkaji garis panduan yang dinyatakan oleh islam, ia menutup segala pintu-pintu yang boleh membawa maksiat.Ia melibat pandangan mata, suara, pakaian (aurat), tujuan perbincangan dan keadaan pergaulan itu berlaku.
Merujuk kepada Kitab Al-Fatawa Al-Mu’asoroh oleh Al-Qardhawi, beliau telah menetapkan dhowabit (garis panduan) dalam pergaulan@pertemuan di antara lelaki dan wanita, iaitu :

1. Kedua-dua belah pihak hendaklah sentiasa menundukkan pandangan,tidak memandang aurat dan dengan perasaan syahwat.Firman Allah Swt :


قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَيَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ جَهُنَّ


Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka.

Bukanlah yang dimaksudkan seperti ayat di atas Islam tidak membenarkan langsung untuk kita memandang dan melihat jantina yang berlawan jenis, akan tetapi hanya sekadar yang perlu sahaja dalam urusan-urusan tertentu. Rasionalnya, kerana pandangan adalah segala-galanya, bak pepatah Melayu “dari mata turun ke hati”. Boleh saja mata ini memberikan ‘isyarat’ kepada hati agar bertindak ke peringkat yang seterusnya.
Namun begitu, Islam mengecualikan pandangan secara tidak sengaja. Tetapi apa yang perlu kita buat apabila kita tidak sengaja? Hal ini telah dijawab oleh Rasulullah Saw terhadap soalan Jarir RA, seorang sahabat Nabi Saw yang bertanyakan tentang pandangan yang tidak disengajakan : Sabda Baginda:

اصرف بصرك
Yang bermaksud : Alihkan pandangan kamu
2. Perempuan muslimah pula mestilah sentiasa memakai pakaian yang telah ditetapkan oleh syarak yang menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.Juga tidak terlalu nipis dan tidak mengikut bentuk badan sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Allah swt :

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Yang bermaksud: Dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya

Telah disahkan oleh beberapa sahabat, apa yang zahir daripada perhiasan ialah muka dan dua tapak tangan.



3. Sentiasa menjaga adab muslimah,terutama ketika berinteraksi dengan lelaki dari segi :

i- Percakapan,tidak melampaui dan menggoda.Sebagaimana firman Allah Swt kepada para isteri Nabi Saw. Dan isteri-isteri Nabi Saw, adalah ikutan terbaik untuk semua wanita di sepanjang zaman dan tempat.


يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا


Yang bermaksud : Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti perempuan yang lain kalau kamu bertakwa. Maka janganlah kamu berbicara dengan lembut manja kerana boleh menimbulkan keinginan orang yang di dalam hatinya ada penyakit; dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan.




ii- Cara berjalan. Firman Allah swt :

وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ

Yang bermaksud: Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.


فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ

Yang bermaksud : Maka datang kepadanya salah seorang dari keduanya sambil berjalan tersipu-sipu.

Ayat di dalam Surah Al-Qasas ini menceritakan kisah salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib As yang datang untuk menyampaikan jemputan ayahnya kepada Nabi Musa As.Dapat kita lihat, qudwah yang ditunjukkan di dalam kisah anak Nabi Syuaib AS ini, bagaimana apabila berjalan, beliau berjalan dalam keadaan tersipu-sipu dan malu.Bukannya berjalan dalam keadaan sebaliknya, yang langsung tidak sesuai dengan fitrah seorang wanita.

iii- Pergerakan pula janganlah terlalu kasar dan janganlah terlalu lembut yang boleh menggoda.Gerunilah amaran yang dinyatakan oleh Rasulullah Saw di dalam haditnya :


صنفان من أهل النار ....ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات رؤوسهن كأسنمة البخت المائلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها لتوجد من مسيرة كذا وكذا

Yang bermaksud : 2 golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka…. perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga.Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini.


4. Hendaklah menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsangkan syahwat seperti bau-bauan, minyak wangi,warna-warna yang menarik yang sepatut di pakai di rumah, bukan di jalanan untuk bertemu dengan lelaki.


وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى


Yang bermaksud : Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliyah zaman dahulu.

Yang dimaksudkan dengan تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ disini ialah menzahirkan perhiasan dan kecantikan yang wajib ditutup dan yang boleh mempengaruhi syahwat orang lain…


5. Sentiasa berwaspada,agar lelaki dan wanita tidak berdua-duan tanpa mahram Hadith sohih telah memberi ingatan


لا يخلو رجل بامرأة ألا ثلثهما الشيطان


Yang bermaksud: Tidak berkhalwat seorang lelaki dan perempaun, melainkan yang ketiganya adalah syaitan

.
6.Pertemuan itu mestilah berdasarkan keperluan atas urusan kerja tanpa melampaui sehingga menyebabkan wanita itu lalai dalam menguruskan rumah tangga dan mendidik generasi.

Walaupun kita lihat di atas,seperti merujuk kepada wanita sahaja,namun lelaki tidak lari dari kemestian menjaga adab-adab yang sama dari sudut pakaian,percakapan,pergerakan dan lain-lain. Justeru, adalah menjadi satu kewajipan untuk seluruh Muslimin dan Muslimat bagi menjaga etika dalam pergaulan sesama kita dan sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial di kalangan umat Islam hari ini.