Monday, May 31, 2010

Damn Israel!!!

Israeli Government officials are violating several articles of the United Nation's Convention on the Law of the Sea (Part VII).↲↲ -Article 87 (a) provides for "Freedom of Navigation"↲-Article 88 states "The high seas shall be reserved for peaceful purposes"↲-Articke 89 states, "no state may validly purport to subject any part of the high seas to its sovereignty". ↲↲PRAY FOR PALESTINIANS!!! Damn Israel!

Friday, May 14, 2010

SINAR WIBAWA GURU MEMBINA NEGARA BANGSA

Saban tahun kita akan meraikan sambutan Hari Guru. Tanggal 16 Mei menjadi satu manifestasi penghargaan istimewa terhadap jasa dan pengorbanan seluruh warga pendidik yang tidak ternilai harganya. Istilah seperti guru ibarat lilin yang membakar diri amat sinonim apabila menggambarkan perit jerih para guru dalam mendidik jiwa anak bangsa tanpa mengenal erti penat jemu. Sungguh, batang tubuh yang bernama guru amat istimewa peranannya kepada kita semua.

Tema sambutan Hari Guru pada kali ini ialah “Guru Pembina Negara Bangsa”. Sekali imbas, ia telah menggambarkan betapa besarnya peranan dan tanggungjawab seorang guru. Biar apa pun tema yang diberi setiap tahun, hakikatnya peranan dan tugas guru tidak pernah berubah dalam mendidik anak bangsa. Ibarat tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Berbicara sedikit mengenai soal pembinaan Negara bangsa, ia meliputi satu perbincangan yang luas dan dalam. Akan tetapi, secara amnya pembinaan Negara bangsa menekankan kepada aspek integrasi nasional dan perpaduan yang perlu dibugarkan dalam masyarakat. Perpaduan, persamaan dan persaudaraan merupakan nilai-nilai fundamental yang menjadi pemangkin bagi perkembangan, kemajuan, dan kemakmuran sesebuah negara.
Demikian juga semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat perpaduan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. Antaranya ialah Surah Al-Hujurat ayat 10, Al-Syura ayat 13, Al-Mukminun ayat 32 dan ayat yang paling popular ialah surah Ali-Imran ayat 103. Jika disorot kembali, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah mencetuskan kepentingan pembinaan bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020 pada tahun 1991. Cabaran pertama yang ditonjolkan dalam gagasan tersebut dengan jelas meletakkan matlamat untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatupadu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum berasaskan persamaan hak dan keadilan.

Nah, di sinilah letaknya kewibawaan guru untuk memberi kefahaman dan penghayatan kepada anak bangsa dalam mengenal erti perpaduan. Dalam konteks di Malaysia, hal ini terkandung di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 1961 yang juga berasaskan kepada Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib yang menekankan unsur perpaduan. Ternyata, untuk mencapai matlamat perpaduan Negara adalah melalui sistem pendidikan. Sehubungan itu, matapelajaran Sejarah diberi penekanan penting dalam melestarikan aspek perpaduan Negara.

Oleh yang demikian, dalam memastikan usaha membina Negara bangsa ini berjaya ia tidaklah terletak sepenuhnya di bahu guru. Malah kerjasama daripada para pelajar, ibu bapa, masyarakat dan para pemimpin juga sangat dititikberatkan. Jika hanya guru sahaja yang berperanan ia hanyalah seperti mencurah air ke daun keladi.
Justeru, bersempena Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan penuh pengiktirafan dan penghargaaan mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga terhadap jasa dan pengorbanan para guru yang cekal mendidik kami selama ini. Di samping itu, PKPIM juga menyeru agar seluruh golongan pelajar di Negara ini meraikan Sambutan Hari Guru yang bakal tiba dengan penuh rasa ikhlas dan adab hormat kerana antara keberkatan sesuatu ilmu itu terletak pada keredhaan seorang guru.

Buat akhirnya, marilah kita merenung sejenak satu rangkap daripada sajak “Guru Oh Guru” yang dinukilkan oleh Allahyarham Usman Awang (1979) yang berbunyi:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Selamat Hari Guru 2010! “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad