Wednesday, October 13, 2010

PKPIM BANTAH PENGANJURAN KONSERT ADAM LAMBERT




KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
13 Oktober 2010/ 1431 H
PKPIM BANTAH PENGANJURAN KONSERT ADAM LAMBERT

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada konsert 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dianjurkan oleh Marctensia Entertainment dan syarikat rakaman Sony Music bakal diadakan pada hari khamis ini di Stadium Bukit Jalil.

PKPIM berpendirian tegas membantah konsert Adam Lambert yang bakal diadakan berkenaan memandangkan konsert tersebut melibatkan artis yang berlatar belakangkan peribadi moral yang negatif dan bertentangan dengan nilai agama dan norma-norma kehidupan serta kebudayaan negara ini.

Adam Lambert, atau nama sebenarnya Adam Mitchel Lambert yang berketurunan Yahudi dikenali sebagai artis gay atau homoseksual. Selain itu, beliau juga sebelum ini aktif membuat persembahan di Hebrew, Israel pada tahun 2005 sempena beberapa acara dengan menyayikan beberapa lagu popularnya seperti Shir LaShalom dan lagu tema Yahudi iaitu The Ten Commandments-The Musical.

Walaupun Adam Lambert menerusi laman Twitter beliau bersetuju untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia, tetapi penganjuran konsert beliau ini melambangkan seolah-olah kita menerima dan membenarkan seorang individu yang tidak bermoral ke dalam masyarakat. Tambahan pula, konsert seperti ini jelas melanggar Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu antara lain menetapkan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan dan berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.

PKPIM meluahkan kebimbangan yang sangat besar akan kesan penganjuran konsert seperti ini kepada generasi muda kerana melihat kepada trend ikutan budaya Barat semakin menjadi-jadi di Malaysia. Gejala hedonisme, iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan budaya yang tidak sihat ini. Perlu disedari bahawa, budaya timur yang menghiasi masyarakat kita sejak turun temurun dari generasi ke generasi begitu kaya dengan amalan budi bahasa, sikap sopan santun, berpekerti mulia yang jelas bercanggah dengan budaya Barat ini.

Justeru itu, PKPIM menggesa supaya penganjuran konsert terbabit dibatalkan. PKPIM juga menyeru agar semua kembali bersama-sama menghayati dan menjadikan kesenian Islam dan kemurnian bangsa itu menjadi teras kepada pemerkasaan budaya kita. Sebagaimana yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menitik beratkan kepada implementasi elemen Islam dan unsur budaya timur dalam segala program kebudayaan dan penyiaran yang diadakan di negara ini.

Masyarakat dan kerajaan umumnya perlu sedar bahawa kita sudah mempunyai acuan kita sendiri untuk berjaya. Usah hanya menjadi pengagum budaya orang lain, sedangkan kita tidak sedar akan kemuliaan budaya kita sendiri. Kekuatan tradisi keagungan Islam dan ketuanan Melayu yang kita warisi berabad lamanya sudah cukup utuh menjadi gagasan kukuh mengangkat kita menjadi umat gemilang atau “khayra ummah” menjelang tahun 2020.

MOHD AKMAL AFIQ BIN MOHAMAD (870216-10-5119)
Timbalan Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Monday, September 6, 2010

Televisyen Menghakis Kesucian 1 Syawal

Setiap tahun Aidilfitri datang dan pergi sebagai kurnia dan anugerah Allah kepada hambanya untuk meraikan kemenangan dalam menghadapi dugaan setelah menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Maka saban tahun umat Islam bergembira merayakan Aidilfitri dengan mengamalkan tradisi balik ke kampung untuk menemui ayah bonda serta sanak saudara. Tidak kurang juga ada yang kunjung-mengunjung ke rumah jiran-jiran yang berdekatan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan jalinan persaudaraan sesama mereka.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari lebaran, kita sering kali dibudayakan dengan cara sambutan yang tidak wajar dan dilihat bertentangan dengan amalan sebenar dalam menyambut kedatangan 1 Syawal. Setiap tahun apabila menjelangnya Aidilfitri, pelbagai program dan pengisian yang berbentuk hiburan melampau disajikan oleh televisyen. Ia seolah-seolah tidak ubah seperti persaingan antara syaikat-syarikat media untuk mendapat tempat di hati masyarakat Islam di Malaysia dan bukan lagi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat. Akibatnya, pelbagai bentuk rancangan yang tidak wajar dipertontonkan menerusi televisyen bagi mengisi kekosongan Aidilfitri. Lantaran itu, hari mulia 1 Syawal telah dicemari dengan pelbagai bentuk hiburan melampau yang bertentangan dengan norma-norma serta nilai-nilai hidup bangsa dan agama kita.

Ia secara tidak langsung akan mengubah persepsi generasi muda yang tersalah faham dengan meletakkan televisyen sebagai teras utama dalam menyambut Aidilfitri. Sebagai contoh kebanyakan dari kita terlalu leka dengan sajian hiburan yang melampau sedangkan tanggungjawab sebenar dalam melakukan perkara-perkara yang dituntut seperti amalan ziarah, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan sebagainya diabaikan. Tidak kurang ada yang sanggup menghabiskan sepanjang hari dengan pergi ke panggung wayang untuk menonton filem yang diuar-uarkan menarik sehingga melupakan amalan ziarah-menziarahi. Maka, dengan sajian-sajian sedemikian, akan menyebabkan terhakisnya nilai-nilai kemuliaan Aidilfitri sebenar yang dipraktikkan semenjak dahulu lagi sehingga menjadi amalan tradisi kita.

Seperti contoh, amalan ziarah sendiri yang bertujuan untuk saling mengenali antara satu sama lain dan mengerat hubungan silaturrahim gagal dicapai disebabkan masing-masing sibuk untuk menonton rancangan-rancangan televisyen yang menarik. Tujuan tetamu yang pada mulanya hadir untuk beramah mesra dan merapatkan hubungan yang terjalin dengan tuan rumah telah berubah sebaik saja rancangan yang menarik telah tersaji di rumah tuan rumah. Maka masing-masing mengalihkan perhatian dengan hanya memberikan tumpuan kepada apa yang disajikan televisyen. Tuan rumah pula tidak lagi mengutamakan adab-adab Islam dalam menghormati tetamu kerana tidak mahu ketinggalan untuk menonton setiap sajian yang menarik. Sedangkan menghormati dan memuliakan tetamu adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Nabi pernah bersabda: “Siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya”. Di samping itu, nilai komunikasi sesama kita dalam bentuk beramah mesra, bertegur-sapa, saling bermaafan juga telah dibataskan.

Aidilfitri sebenarnya perlu diisi dengan laungan takbir dengan memuji kebesaran Allah dan tasbih sebagai tanda meraikan kemengan kita dalam menyempurnakan ibadat Ramadan. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda : “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid, dan taqdis”. Dalam masa yang sama, Aidilfitri juga menitik beratkan dua perkara asas iaitu pertalian ukhuwah sesama Muslim dan juga “tazkiyatun nafsi” atau pembersihan jiwa yang dibina menerusi madrasah Ramadan selama sebulan. Maka disini jelas, sekiranya Aidilfitri itu sendiri diisi dengan pelbagai bentuk kemungkaran, kemaksiatan, dan hiburan yang melampau, ia sememangnya bercanggah dengan tujuan dan cara sebenar dalam meraikannya.

Dalam pada itu, nilai spiritual atau kerohanian yang dibina melalui kejayaan Ramadan juga terhakis. Madrasah Ramadan yang dianjurkan agama khusus untuk melahirkan insan yang bertaqwa sukar direalisasikan ekoran pelbagai kemungkaran dan hiburan yang bertentangan dengan adat dan agama direncanakan menerusi televisyen. Mufti Perak Dato Seri Dr Harussani Zakaria yang pernah menyatakan bahawa sekiranya Aidilfitri disambut dengan method dan pengisian hiburan yang keterlaluan hukumnya adalah haram. Apabila jatuhnya hukum haram, maka sambutan Aidilfitri tidak lagi dianggap sebagai ibadah tetapi hanya adat tradisi yang bercanggah dengan agama.

Maka Aidilfitri pada hakikatnya harus disambut dengan melaksanakan ibadah-ibadah lain yang dituntut oleh Islam berserta dengan semangat iltizam untuk melakukan perubahan diri dan bukan hanya sekadar diisi dengan pelbagai bentuk hiburan keterlaluan yang melalaikan semata-mata. Kita seharusnya mengkaji semula adakah cara kita menyambut Aidilfitri ini boleh dianggap sebagai suatu yang diredhai Allah atau hanya sekadar mengundang kemurkaanNYA.

Thursday, August 19, 2010

MANYERAP SEMANGAT BADAR AL-KUBRA KE DALAM JIWA

Pada ketika umat Islam bakal menyambut Nuzul-al-Qur’an yang akan tiba tidak kurang satu minggu lagi, mungkin ramai juga yang terlupa bahawa pada tarikh yang sama satu lagi peristiwa besar telah berlaku dalam sejarah Islam. Tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, peristiwa yang dinukilkan dalam Al-Qur’an sebagai Yaumul-Furqan (Hari Pemisahan di Antara Hak dan Batil) telah berlaku; peristiwa penting yang menjadi penentu kepada tertegaknya atau jatuhnya Islam; peristiwa yang menentukan sama ada yang hak atau yang batil yang akan selamanya menang; itulah peristiwa yang kita kenali sebagai peperangan Badar Al-Kubra!

Peristiwa Badar Al-Kubra, yang merupakan peperangan pertama bagi umat Islam, adalah satu peristiwa yang cukup penting kerana peristiwa tersebut menjadi penentu sama ada yang hak akan berada di atas kebatilan atau yang batil akan berada di atas yang hak. Apatah lagi, tentera Islam yang seramai 313 orang itu semuanya merupakan ‘orang-orang kuat’ Islam yang seandainya terkorban, pasti perkembangan Islam itu sendiri akan mati. Malah, peristiwa ini juga boleh menjadi kayu ukur, adakah kekentalan iman Islam akan menang atau puak musyrik akan mudah meleburkan tentera Islam. Atas sebab itulah, Rasulullah s.a.w. berdoa kepada Allah S.W.T. sebelum bermulanya peperangan, yang menggambarkan betapa penting dan besarnya perang Badar Al-Kubra tersebut;

Baginda Rasulullah s.a.w. berdoa: “Wahai Allah, kalau (pasukan Muslimin) ini sampai binasa hari ini, Engkau tidak akan disembah lagi (oleh manusia). Wahai Allah, jika Engkau menghendaki, Engkau tidak disembah lagi selepas ini.”

Dalam peristiwa inilah kita menyaksikan bagaimana Allah S.W.T. membuktikan janji akan pertolongan-Nya kepada orang-orang yang beriman dan berjihad di jalan-Nya. Dalam peristiwa ini jugalah kita menyaksikan bagaimana kesatuan dan kesepaduan umat Islam itu teruji dan terbukti. Strategi peperangan yang terhasil daripada musyawarah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menjadi hujah betapa pentingnya musyawarah dalam membuat keputusan penting dalam sesebuah organisasi atau jemaah. Malah, dalam peristiwa ini jugalah terbukti keimanan para sahabat yang telah menyatakan iltizam mereka untuk bersama-sama dengan Rasulullah, walaupun menyedari bahaya yang menanti di hadapan. Namun, dek kekentalan iman dan keyakinan yang menebal akan janji Allah S.W.T. dan Rasul-Nya, maka mereka terus mara di medan perjuangan.

Perhatikan ucapan Sa’ad ibn Muaz, mewakili golongan Ansar yang merupakan golongan terbanyak dalam barisan tentera Badar tersebut, yang menyatakan tekad mereka sekaligus menghilangkan kegusaran dan menghadirkan kegembiraan di hati Rasulullah s.a.w.: “Kami telah beriman kepadamu, dan kami bersaksi bahawa apa yang engkau bawa adalah benar. Atas dasar itu, kami telah menyatakan janji untuk sentiasa bersama, taat dan setia kepadamu. Wahai Rasulullah! Laksanakanlah apa yang engkau kehendaki, kami tetap bersamamu. Demi Allah! Seandainya engkau menghadapi lautan dan engkau terjun ke dalamnya, kami pasti akan terjun bersamamu juga. Tidak ada seorang pun di antara kami yang mundur dan kami tidak akan bersedih jika engkau menghadapkan kami dengan musuh esok hari. Kami akan tabah menghadapi peperangan dan tidak akan melarikan diri. Semoga Allah akan memperlihatkan kepadamu apa yang sangat engkau inginkan daripada kami. Marilah kita berangkat dengan kemuliaan Ilahi.”

Akhirnya dengan bantuan tentera daripada para Malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T., tentera Islam yang hanya seramai 313 orang itu berjaya menumpaskan tentera Musyrik yang diketuai oleh Abu Jahal. Oleh sebab besarnya peranan dan nilai kemenangan tentera Islam dalam peperangan Badar Al-Kubra ini, para tentera Badar adalah merupakan mereka yang dikurniakan kemuliaan.

Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah melihat orang yang menyertai Perang Badar, lalu Dia berfirman: ‘Lakukanlah apa sahaja yang kamu kehendaki kerana Aku telah mengampunkan dosa kamu!’”.

Imam Al-Bukhari r.a. juga turut menyebut mengenai kehadiran tentera malaikat dalam Peperangan Badar dengan memetik sebuah hadith, yang bermaksud: “Malaikat Jibril a.s. menemui Nabi Muhammad s.a.w. lalu bertanya, ‘Apakah jenis tentera yang menyertai kelompok tentera Badar ini?’ Baginda s.a.w. menjawab, ‘Daripada sebaik-baik kaum Muslimin, atau perkataan yang seumpamanya!’ Lalu Jibril a.s. berkata, ‘Begitu juga tentera Malaikat yang menyertai peperangan ini!’”.

Semoga Allah merahmati para ahli Badar.

Sedar atau tidak, Ramadan yang sedang kita lalui ini sudah mulai sampai pada pertengahannya. Persoalan utama, apakah Ramadan yang kita tempuhi hari ini benar-benar telah mencetuskan perubahan di dalam diri dan prestasi ibadah kita? Aspek inilah sebenarnya sering dipandang enteng dan amat malang sekali bagi siapa yang menggelarkan dirinya pejuang agama Allah. Justeru, dengan melihat sirah generasi para anbiya’ dan para sahabat terdahulu kita harus menyerap segala kekuatan yang terhasil daripada usaha dan tawakkal mereka yang tinggi kepada Allah SWT. Contoh tauladan seperti itulah yang perlu diikuti dan diambil teladan agar muda mudi yang bakal dilahirkan suatu hari nanti adalah generasi yang dapat memimpin ke arah perubahan.

Situasi masyarakat pada hari ini begitu menggamit kerisauan apabila krisis umat yang melanda sedah terlalu membarah. Hal ini telah disebut oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam amanat beliau pada Ijtimak Harakiy Pertama yang lalu sebagai ‘moral deficit’ yang melanda Negara kita. Tatkala semua orang berbicara tentang krisis kewangan ‘fiscal deficit’ tetapi tidak ramai yang berbicara tentang krisis kemanusiaan yang lebih mendasar ini. Salah satu buktinya ialah sektor ekonomi yang seakan hilang etika seperti berlakunya rasuah, penipuan, keserakahan, penindasan, pemerasan dan seumpamanya. Justeru, jka moral deficit sebegini tidak ditangani secara serius sebaik mana pun model ekonomi yang digagskan tidak akan ada gunanya.

Antara intipati lain dalam amanat beliau ialah tentang peri pentingnya kita memahami maqasid al-shariah. Esensi maqasid al-shariah sebenarnya tidak lain adalah maslahah yang dapat diertikan sebagai menyejahterakan umat dengan manfaat, dan menyelamatkan mereka dari mudarat. Gerakan dakwah memang tidak dapat mengelak dari persoalan maqasid kerana para anbiya dan mursalin telah menjadikan maqasid al-shariah sebagai maqasid al-da’wah. Para da’i harus memahami serba serbi tentang agama termasuk maqasidnya untuk mencapai pesan dakwah ‘ala basirah dan dakwah bi’l-hikmah agar dapat memenuhi keperluan umat secara kolektif. Oleh itu, dengan memahami maqasid al-shariah matlamat kita menyertai gerakan dakwah ini akan lebih jelas kerana tujuan syari’at adalah untuk menyelamatkan, membahagiakan dan memberdayakan umat manusia sehingga mampu melaksanakan amanah istikhlaf atau misi kekhalifahan.

Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH ‘10) yang dianjurkan pada kali ini meletakkan suatu harapan agar kita semua dapat menginsafi dan bermuhasabah diri atas segala amal yang telah kita laksanakan. Mudah-mudahan, madrasah Ramadan ini dapat melahirkan insan-insan yang bersih jiwanya, istiqamah dalam amalannya dan tinggi semangat jihadnya. Di samping itu, peristiwa Nuzul al-Qur’an yang akan tiba nanti bakal menjanjikan satu mesej yang begitu signifikan kepada kita demi merealisasikan impian tinggi agama untuk melahirkan generasi Qurani di kalangan pemuda-pemuda hari ini “Jiil al-Quran al-Farid”.
Semoga Allah mempertautkan hati-hati kita dengan segala rahmat yang terkandung dalam bulan Ramadan yang penuh mulia ini.
Allahu Akbar!

PKPIM ANJUR MAJLIS IFTAR MAHABBAH 2010




Kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia akan sekali lagi diraikan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat. Di peringkat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kehadiran bulan Ramadhan tahun 1431H ini sekali lagi tepat dengan suasana dan keadaan semasa. Kesempatan untuk berpesta ibadah, untuk melakukan muhasabah, membersihkan jiwa serta mendidik diri perlu dimanfaatkan oleh seluruh ahli PKPIM yang baru sahaja selesai melaksanakan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) yang ke-49.


Sebagai sebuah gerakan pelajar Islam peringkat kebangsaan, PKPIM sekali lagi akan mengadakan program tradisinya dalam bulan Ramadhan yakni Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH). Peluang untuk bersama-sama meraikan bulan Ramadhan, mengukuhkan ukhuwwah sebagai elemen penting dalam gerakan ini, serta bersama-sama melaksanakan ibadah secara berjemaah adalah kesempatan yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Selain daripada itu, peluang untuk melakukan pendidikan dan pembaikan diri sempena bulan Ramadhan ini juga tidak harus dilepaskan.


Justeru, bagi sambutan MIFTAH 1431H ini, PKPIM mengambil kesempatan yang sangat baik ini bagi mengeratkan lagi ukhuwwah, serta memperkukuh kesatuan hati, fikir dan tindakan para ahli. Di samping ibadah-ibadah khusus yang biasa dilakukan dalam bulan Ramadhan, MIFTAH 1431H ini juga akan memberikan penekanan kepada pengisian-pengisian yang fundamental dan penting tentang hal-hal gerakan (harakiyyah) dan da’wah.

Monday, May 31, 2010

Damn Israel!!!

Israeli Government officials are violating several articles of the United Nation's Convention on the Law of the Sea (Part VII).↲↲ -Article 87 (a) provides for "Freedom of Navigation"↲-Article 88 states "The high seas shall be reserved for peaceful purposes"↲-Articke 89 states, "no state may validly purport to subject any part of the high seas to its sovereignty". ↲↲PRAY FOR PALESTINIANS!!! Damn Israel!

Friday, May 14, 2010

SINAR WIBAWA GURU MEMBINA NEGARA BANGSA

Saban tahun kita akan meraikan sambutan Hari Guru. Tanggal 16 Mei menjadi satu manifestasi penghargaan istimewa terhadap jasa dan pengorbanan seluruh warga pendidik yang tidak ternilai harganya. Istilah seperti guru ibarat lilin yang membakar diri amat sinonim apabila menggambarkan perit jerih para guru dalam mendidik jiwa anak bangsa tanpa mengenal erti penat jemu. Sungguh, batang tubuh yang bernama guru amat istimewa peranannya kepada kita semua.

Tema sambutan Hari Guru pada kali ini ialah “Guru Pembina Negara Bangsa”. Sekali imbas, ia telah menggambarkan betapa besarnya peranan dan tanggungjawab seorang guru. Biar apa pun tema yang diberi setiap tahun, hakikatnya peranan dan tugas guru tidak pernah berubah dalam mendidik anak bangsa. Ibarat tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Berbicara sedikit mengenai soal pembinaan Negara bangsa, ia meliputi satu perbincangan yang luas dan dalam. Akan tetapi, secara amnya pembinaan Negara bangsa menekankan kepada aspek integrasi nasional dan perpaduan yang perlu dibugarkan dalam masyarakat. Perpaduan, persamaan dan persaudaraan merupakan nilai-nilai fundamental yang menjadi pemangkin bagi perkembangan, kemajuan, dan kemakmuran sesebuah negara.
Demikian juga semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat perpaduan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. Antaranya ialah Surah Al-Hujurat ayat 10, Al-Syura ayat 13, Al-Mukminun ayat 32 dan ayat yang paling popular ialah surah Ali-Imran ayat 103. Jika disorot kembali, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah mencetuskan kepentingan pembinaan bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020 pada tahun 1991. Cabaran pertama yang ditonjolkan dalam gagasan tersebut dengan jelas meletakkan matlamat untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatupadu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum berasaskan persamaan hak dan keadilan.

Nah, di sinilah letaknya kewibawaan guru untuk memberi kefahaman dan penghayatan kepada anak bangsa dalam mengenal erti perpaduan. Dalam konteks di Malaysia, hal ini terkandung di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan 1961 yang juga berasaskan kepada Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib yang menekankan unsur perpaduan. Ternyata, untuk mencapai matlamat perpaduan Negara adalah melalui sistem pendidikan. Sehubungan itu, matapelajaran Sejarah diberi penekanan penting dalam melestarikan aspek perpaduan Negara.

Oleh yang demikian, dalam memastikan usaha membina Negara bangsa ini berjaya ia tidaklah terletak sepenuhnya di bahu guru. Malah kerjasama daripada para pelajar, ibu bapa, masyarakat dan para pemimpin juga sangat dititikberatkan. Jika hanya guru sahaja yang berperanan ia hanyalah seperti mencurah air ke daun keladi.
Justeru, bersempena Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan penuh pengiktirafan dan penghargaaan mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga terhadap jasa dan pengorbanan para guru yang cekal mendidik kami selama ini. Di samping itu, PKPIM juga menyeru agar seluruh golongan pelajar di Negara ini meraikan Sambutan Hari Guru yang bakal tiba dengan penuh rasa ikhlas dan adab hormat kerana antara keberkatan sesuatu ilmu itu terletak pada keredhaan seorang guru.

Buat akhirnya, marilah kita merenung sejenak satu rangkap daripada sajak “Guru Oh Guru” yang dinukilkan oleh Allahyarham Usman Awang (1979) yang berbunyi:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Selamat Hari Guru 2010! “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad

Thursday, March 18, 2010

MATI RASA, MASYARAKAT BINASA


Umum mengetahui bahawa sesebuah masyarakat yang baik dan tinggi tamadunnya tidak hanya lahir daripada kemajuan teknologi dan material semata. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana individu-individu dalam nukleus masyarakat itu yang punya ‘rasa’ dan kesedaran terhadap setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Kita khuatir, dengan rempuhan kuat permasalahan sosial kini mengakibatkan masyarakat sudah mati ‘rasa’nya dan mati jiwanya. Lebih ditakuti, masyarakat akan binasa dan negara tidak mampu lagi ‘bernyawa’.

Baru-baru ini seluruh negara dikejutkan dengan penemuan premis-premis yang membekalkan gajet-gajet seks secara haram secara terbuka di beberapa kompleks membeli-belah yang terkemuka di ibu negara. Tidak lama sebelum itu, kita hangat membincangkan tentang isu buang bayi yang kian menular dalam masyarakat. Nah, tentu sahaja kita dapat membayangkan hubung kait dua contoh permasalahan yang berlaku ini. Jika masih ada yang mahu bersikap apologetik dengan isu ini, maka ianya harus disingkirkan segera. Manifestasinya, kita bersyukur dengan dengan tindakan tegas pihak berkuasa yang mengambil langkah drastik bagi menyelesaikan masalah ini.

Namun begitu, seringkali menjadi persoalan di benak fikiran kita ialah sejauh mana masalah yang berlaku ini dapat sampai kepada noktah akhirnya? Langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dengan menutup serta merta premis-premis gajet seks itu adalah sesuatu yang harus dipuji dan dan diberi galakan untuk tindakan susulannya. Tetapi, adakah pengusaha premis serta pelanggan gajet-gajet ini akan terus senyap dan berhenti dari terus merosakkan masyarakat? Ibarat seperti kita merampas jarum suntikan dari tangan penagih dadah. Jika dibiarkan, pasti dia menggigil untuk mencari bekalan dadah lain biapun terpaksa mencuri hatta membunuh. Inilah yang menjadi kerisauan, apabila mereka yang tidak serik ini bakal bertindak secara alternatif dengan melakukan perkara seumpamanya dengan bersembunyi dari diketahui umum.

Justeru itu, selain diberi penekanan terhadap penutupan premis-premis ini, pihak berkuasa juga disaran memberikan perhatian serius terhadap penjualan aksesori dan gajet seks ini yang sudah mula bergerak aktif di laman maya atau secara online. Mengikut sumber yang didapati, ada sesetengah pengusaha premis terbabit membangunkan laman sesawang sendiri bagi tujuan menerima tempahan pelanggan melaluinya.Tempahan juga boleh diterima melalui khidmat pesanan ringkas dan e-mel selain melalui interaksi menerusi laman rangkaian sosial khas diwujudkan.

Pepatah Inggeris yang menyebutkan, “Sins at the fingertips” memang ada kebenaran, mana tidaknya, hanya dengan beberapa taipan kata kunci pada papan kekunci dan mengklik pada tetikus, dengan segera terpapar imej-imej yang diidamkan. Kini, dengan bebrapa klik juga ianya dapat menambahkan pendapatan kepada insan-insan yang tidak bertanggungjawab.

Tidak dinafikan, internet yang mula diperkenalkan lewat abad lalu, telah banyak menyumbang kepada penetapan landasan kemajuan sesebuah negara. Perniagaan maya, promosi barangan, kemudahan persidangan video dan bertukar-tukar idea ekonomi, dilihat mengangkat martabat internet sebagai wahana kemajuan tamadun manusia kini. Tetapi, bagaimana pula peranan internet untuk melahirkan tamadun keinsanan? Lihat sajalah di kafe-kafe siber, kemudahan internet pada sebahagian besar anak-anak muda hari ini tidak lain hanyalah sebagai ruang sembang kosong, bermain permainan visual secara local area network, memuat turun nada dering, melawat laman-laman yang mengghairahkan, dan terkini membeli aksesori dan gajet yang dapat meningkatkan nafsu untuk melakukan seks hanya untuk merasa kenikmatan yang sementara.

Dari sudut perlaksanaan undang-undang, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dilihat dapat ditingkatkan lagi penguasaannya bagi menangkap dan mendakwa pihak-pihak yang bertanggungjawab yang terlibat dalam penjualan serta penyebaran gajet-gajet seks ini di pasaran. Dalam masa yang sama, kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar mengesan laman sesawang yang menjalankan transaksi pembelian gajet seks secara maya serta mengarahkan penutupan transaksi berkenaan dengan segera agar budaya gejala seks bebas dapat dikurangkan.
Malah, peranan Kastam Diraja Malaysia (KDM) juga perlu diperkemaskan dari sudut kawalan di semua pintu masuk. Dengan memperketatkan kawalan masuk gajet-gajet seks ini yang kebanyakannya dari negara China dan Hong Kong, sedikit sebanyak ia akan mengurangkan lambakan gajet-gajet yang tidak senonoh ini di dalam masyarakat Malaysia khususnya generasi muda.

Walau apapun, dalam konteks hari ini, pemerkasaan masyarakat itu sendiri perlu diutamakan. Buatlah apa saja pun, dari penguatkuasaan undang-undang, pemberatan hukuman dan penegasan media massa untuk menyedarkan pengusaha premis kembali ke pangkal jalan, namun jika tiada usaha balas secara besar-besaran dari sasaran penjual, iaitu masyarakat, semuanya hanya tinggal penguatkuasaan. Perlu ada konsep timbal-balik atau “vice-versa” dalam hal ini. Penjual tidak akan terus menjual jika tiada yang membelinya. Tindakan kita yang hanya mengharap pemantauan pihak polis dan pihak berkuasa yang lainnya semata-mata wajar dikikis. Masyarakat harus ada rasa sedar, bahawasanya perkara sebegini dapat menghancurkan jiwa anak bangsa dan generasi akan datang. Biarlah sensitiviti sebegini melangit di kalangan masyarakat, jika kita mahu lihat generasi yang punyai masa hadapan yang cerah akan datang.

Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan penuh rasa insaf dan prihatin akan permasalahan umat, menyeru agar semua lapisan masyarakat tampil ke hadapan membantu usaha pihak-pihak berkuasa dalam membanteras masalah sosial terlampau ini. PKPIM juga menyeru agar nukleus masyarakat iaitu institusi keluarga diperkukuhkan demi memastikan ahli keluarga kita sentiasa dalam keadaan selamat dan bebas daripada terlibat dengan perkara negatif sebgini. Suasana kemesraan dan ‘ambilil tahu’ harus dibenihkan oleh ibu bapa untuk anak-anaknya, agar dengan bekal itu, kewaspadaan mereka akan ditingkatkan dengan ikatan ingatan dan kasih sayang yang berpanjangan dari penjaganya, di mana jua mereka berada.

Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad