Wednesday, October 14, 2009

MISI MEMBANTERAS KEBEJATAN ADAB GENERASI MUDA

Dalam meniti hari-hari akhir di bulan Syawal yang disifatkan sebagai bulan kemenangan umat Islam ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) rasa terpanggil untuk menyatakan rasa dukacita yang sangat dalam apabila melihat akan perilaku generasi muda hari ini yang sudah tandus akhlak dan adabnya. Laporan akhbar Harian Metro yang bertarikh 14 Oktober 2009 mendedahkan kegiatan tiga beradik yang menganjurkan pesta maksiat bersama pasangan mereka di sebuah pangsapuri yang disewa di Putrajaya. Lebih menyedihkan, kegiatan itu membabitkan tiga gadis bawah umur yang sepatutnya menumpukan pelajaran di sekolah. Berita seumpama ini hanyalah sekelumit daripada ribuan permasalahan generasi muda hari ini. Bahkan, mungkin ada yang menyifatkan berita seperti ini adalah picisan kerana di sana masih banyak lagi masalah yang lebih serius melibatkan generasi muda dalam pelbagai kegiatan jenayah. Walau apa sekalipun, perkara pokoknya tetap sama. Anak muda hari ini khususnya bangsa Melayu telah dirempuh dengan kebejatan akhlak dan adab yang sangat besar.

Selain itu, baru-baru ini Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed telah membuat kenyataan berkenaan dengan jumlah penagih dadah di kalangan wanita di negara ini meningkat sebanyak 1.7 peratus iaitu seramai 263 orang yang ditangkap berbanding tahun lalu. Jumlah ini dianggap serius kerana ia melibatkan golongan wanita yang berumur seawal 18 tahun. Bukti lain yang menunjukkan betapa seriusnya masalah penagihan dadah di kalangan wanita di negara ini adalah dengan wujudnya satu pusat serenti wanita yang dibina di Bachok, Kelantan, yang dikenali sebagai Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen). Lanjutan daripada itu, beliau juga menyatakan sehingga September lalu, seramai 2,762 penagih dadah dikesan dengan paling ramai direkodkan di Kuala Lumpur yakni berjumlah 577 orang atau 20.97 peratus dan diikuti Kedah seramai 574 orang atau 20.86 peratus. Nah, apakah kita masih lagi mahu pasif dan perlu bersikap apologetik dengan angka-angka di atas?

Pada hakikatnya, pelbagai cara atau ikhtiar telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa hinggalah kepada ibu bapa remaja yang terlibat demi membanteras permasalahan yang berlaku ini. Akan tetapi, persoalannya di sini apakah adab dan akhlak generasi muda dapat dikembalikan dengan bentuk hukuman semata-mata yang dijatuhkan atas kesalahan mereka? Adab hanya akan lahir menerusi penyemaian nilai-nilai murni berteraskan ilmu yang tepat terhadap seseorang individu sehingga lahirnya rasa pengiktirafan terhadap letakduduk segala sesuatu pada tempatnya yang benar. Tempat segala sesuatu sudah pasti bukan sahaja merujuk kepada tempat yang bersifat jasmani tetapi yang lebih penting kedudukan rohani seperti ketuhanan, kenabian, hari akhirat dan lain-lain dalam jiwa dan akal manusia. Justeru, PKPIM merasakan langkah terbaik bagi mencetuskan rasa beradab seperti ini adalah dengan medium pendidikan atau ta’dib (penyemaian adab dalam diri insan) terhadap generasi muda.

Dalam pada itu, PKPIM menyarankan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia agar memperkasa semula modul khas yang meliputi program motivasi, kesedaran, kerohanian, kekuatan minda dan jasmani yang telah dilancarkan di pusat korikulum daerah atau negeri tidak berapa lama dahulu. Hal ini penting demi menanam dan menjana semula sifat dan nilai murni yang sepatutnya ada dalam diri pelajar. Jika kita imbas sejarah, banyak sekali pengiktibaran yang membuktikan bahawa kekuatan fizikal, mental dan spiritual golongan muda pada usia inilah yang akan menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa. Pada usia inilah manusia berada di tahap paling optimum dalam kebangunan jasad dan mentalnya dalam menyumbang yang terbaik dari dirinya.

Pasti kita masih ingat akan sejarah betapa banyak tokoh-tokoh remaja yang melonjakkan diri mereka menjangkau pemikiran dan sumbangan golongan dewasa. Kisah al-Imam asy-Syafie yang mampu mengeluarkan fatwa tentang urusan agama pada usia 15 tahun, keunggulan Sultan Muhammad al-Fatih yang mengetuai ratusan armada kapal laut dalam misinya menawan kembali Kota Konstantinople yang pada waktu itu beliau hanya berusia 21 tahun serta Ibnu Sina yang menguasai bidang Kimia dan 8 bidang ilmu utama yang lain pada usia 21 tahun yang sehinggakan kitab karangan terkenalnya Qanun Fittib dicetak di dalam pelbagai bahasa di benua Eropah. Semua di atas dan banyak lagi contoh remaja belia yang tidak dinyatakan di sini adalah bukti betapa kebolehan berfikir di luar konteks usia dan menabur bakti bersungguh-sungguh adalah syarat yang membolehkan mereka diangkat dan dihormati oleh umat pada zaman mereka dan zaman ini.

Oleh itu, PKPIM mencadangkan agar pendekatan berhikmah dapat digunakan bagi membanteras kebejatan sosial yang melanda generasi muda terutama dalam menyelesaikan permasalahan yang mengakar seperti isu seks bebas, penyalahgunaan dadah, buli, gangsterisme, merokok, dan sebagainya. Pendekatan yang baru serta bersifat tidak terus menghukum dilihat lebih sesuai dan berkesan. Api jika dilawan dengan api sudah pasti akan memarakkan lagi konflik yang ada. Justeru dengan pendekatan berhikmah, teknik membawa mereka kembali menghayati gaya hidup murni dan beradab secara tidak langsung adalah amat perlu. Di samping itu, pembentukan ‘peer group’, atau rakan yang prihatin perlu dalam memastikan anak-anak muda yang bermasalah ini dihampiri, dijiwai dan disembuhi bersama-sama menerusi kaedah ‘Mentor-Mentee’. Teknik ini boleh dipimpin oleh seorang senior atau moderator kumpulan berpengalaman dari kalangan NGO belia yang boleh menjadi tempat untuk mengadu masalah dan berkongsi pengalaman hidup sesama ahli. Perasaan kasih-sayang yang terbit di dalam kumpulan ini diharapkan menjadi penebat kepada krisis akhlak yang berlaku. Biar kita tegas dalam prinsip, namun dalam masa yang sama berlembut dalam pendekatan yang digunakan.

Perlu diingat, keterbangunan sebuah bangsa adalah terletak di bahu generasi mudanya. Sungguh, kita akan terus gemilang di persada belia dunia jika kebejatan adab yang melanda ini dapat dibanteras seiring dengan pembangunan spiritual, mental dan fizikal dijadikan asas dalam membina barisan remaja yang punya upaya dan dipercayai. Justeru PKPIM dengan satu “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” menyeru agar seluruh masyarakat memfokuskan kepada usaha melindungi, mendidik seterusnya memastikan generasi muda negara akan terus dilihat berakhlak mulia dan berkarisma dalam memimpin negara kita pada masa akan datang. Allah S.W.T pernah menggariskan di dalam al-Qur’an, ayat ke-26 surah al-Qosas, bahawasanya di antara syarat pemilihan pemuda yang terbaik untuk bekerja demi membangunkan negara adalah mereka yang mempunyai al-Qawiyy al-Amin, atau mereka yang berupaya dan berwibawa.

Tuesday, October 6, 2009

PKPIM Lancar Tabung Kemanusiaan Ummat



Isnin-5 Oktober 2009 : Susulan dari malapetaka yang melanda umat Islam di negara jiran, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam malaysia (PKPIM) telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Ummat (Misi Pemulihan Padang) untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga mangsa.

Pada 30 September lalu, gempa bumi yang berukuran 7.6 Skala Richter telah melanda Pariaman, Padang yang telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada harta benda serta meragut ratusan nyawa dengan angka terkini seramai 603 telah disahkan terkorban oleh Badan Menangani Bencana Sumatera Barat, Indonesia.

Dalam pada itu, dua Gempa susulan awal pagi ini yang dicatatkan di Papua Barat dengan kekuatan 6.1 Skala Richter pada pukul 10.36 pagi waktu Indonesia Barat dan di Gorontalo, Sulawesi berukuran 5.3 Skala Richter juga telah memburukkan lagi keadaan.

Tabung Kemanusiaan Ummat ini bertujuan mengumpulkan dana yang secukupnya bagi menyediakan keperluan asas khususnya kepada mangsa di kawasan sekitar Pariaman yang masih terpinggir dari mendapat bantuan.

Tabung yang telah dilancarkan ini juga akan digerakkan di semua Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dan sekolah-sekolah di Malaysia. Maka, PKPIM berharap agar kempen kutipan bantuan kewangan ini akan mendapat sokongan penuh daripada semua mahasiswa dan pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) turut menghantar tiga orang sukarelawan bagi menjayakan misi pertama ke Padang awal pagi ini. Misi pertama ini akan memberi fokus kepada bantuan perubatan dan sokongan hidup mangsa gempa.

Bagi memastikan kelangsungan bantuan, PKPIM turut bekerjasama dengan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) dan Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia (HMI) bagi merangka dan mengemaskini bentuk bantuan yang sewajarnya diberikan.

Sementara itu, PKPIM yang turut menganggotai Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) telah menggesa badan induk itu untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan pelan pembangunan pasca tragedi.

“HIDUP BIAR BERJASA”

Monday, October 5, 2009

Televisyen Menghakis Kesucian 1 Syawal




Setiap tahun Aidilfitri datang dan pergi sebagai kurnia dan anugerah Allah kepada hambanya untuk meraikan kemenangan dalam mengahadapi dugaan setelah menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Maka saban tahun umat Islam bergembira merayakan Aidilfitri dengan mengamalkan tradisi balik ke kampung untuk menemui ayah bonda serta sanak saudara. Tidak kurang juga ada yang kunjung-mengunjung ke rumah jiran-jiran yang berdekatan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan jalinan persaudaraan sesama mereka.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari lebaran, kita sering kali dibudayakan dengan cara sambutan yang tidak wajar dan dilihat bertentangan dengan amalan sebenar dalam menyambut kedatangan 1 Syawal. Setiap tahun apabila menjelangnya Aidilfitri, pelbagai program dan pengisian yang berbentuk hiburan melampau disajikan oleh televisyen. Ia seolah-seolah tidak ubah seperti persaingan antara syaikat-syarikat media untuk mendapat tempat di hati masyarakat Islam di Malaysia dan bukan lagi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat. Akibatnya, pelbagai bentuk rancangan yang tidak wajar dipertontonkan menerusi televisyen bagi mengisi kekosongan Aidilfitri. Lantaran itu, hari mulia 1 Syawal telah dicemari dengan pelbagai bentuk hiburan melampau yang bertentangan dengan norma-norma serta nilai-nilai hidup bangsa dan agama kita.

Ia secara tidak langsung akan mengubah persepsi generasi muda yang tersalah faham dengan meletakkan televisyen sebagai teras utama dalam menyambut Aidilfitri. Sebagai contoh kebanyakan dari kita terlalu leka dengan sajian hiburan yang melampau sedangkan tanggungjawab sebenar dalam melakukan perkara-perkara yang dituntut seperti berziarah, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan sebagainya diabaikan. Tidak kurang ada yang sanggup menghabiskan sepanjang hari dengan pergi ke wayang untuk menonton cerita yang diuar-uarkan menarik sehingga melupakan amalan ziarah-menziarahi. Maka, dengan sajian-sajian sedemikian, akan menyebabkan terhakisnya nilai-nilai kemuliaan Aidilfitri sebenar yang dipraktikkan semenjak dahulu lagi sehingga menjadi amalan tradisi kita.

Seperti contoh, amalan ziarah sendiri yang bertujuan untuk saling mengenali antara satu sama lain gagal dicapai disebabkan masing-masing sibuk untuk menonton rancangan-rancangan televisyen yang menarik. Tujuan tetamu yang pada mulanya hadir untuk beramah mesra dan merapatkan hubungan yang terjalin dengan tuan rumah telah berubah sebaik saja rancangan yang menarik telah tersaji di rumah tuan rumah. Maka masing-masing mengalihkan perhatian dengan hanya memberikan tumpuan kepada apa yang disajikan televisyen. Tuan rumah pula tidak lagi mengutamakan adab-adab Islam dalam menghormati tetamu kerana tidak mahu ketinggalan untuk menonton setiap sajian yang menarik. Sedangkan menghormati dan memuliakan tetamu adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Nabi pernah bersabda: “ Siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya”. Di samping itu, nilai komunikasi sesama kita dalam bentuk beramah mesra, bertegur-sapa, saling bermaafan juga telah dibataskan.

Aidilfitri sebenarnya perlu diisi dengan laungan takbir dengan memuji kebesaran Allah dan tasbih sebagai tanda meraikan kemengan kita dalam menyempurnakan ibadat Ramadan. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda : “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid, dan taqdis”. Dalam masa yang sama, Aidilfitri juga menitik beratkan dua perkara asas iaitu pertalian ukhuwah sesama Muslim dan juga “tazkiyatun nafsi” atau pembersihan jiwa yang dibina menerusi madrasah Ramadan selama sebulan. Maka disini jelas, sekiranya Aidilfitri itu sendiri diisi dengan pelbagai bentuk kemungkaran, kemaksiatan, dan hiburan yang melampau, ia sememangnya bercanggah dengan tujuan dan cara sebenar dalam meraikannya.

Dalam pada itu, nilai spiritual atau kerohanian yang dibina melalui kejayaan Ramadan juga terhakis. Madrasah Ramadan yang dianjurkan agama khusus untuk melahirkan insan yang bertaqwa sukar direalisasikan ekoran pelbagai kemungkaran dan hiburan yang bertentangan dengan adat dan agama direncanakan menerusi televisyen. Meskipun begitu, saya secara peribadi ingin menyatakan sekalung pujian dan tahniah kepada pihak media terutama media elektronik dan media cetak tempatan yang dilihat banyak melakukan perubahan ke arah yang lebih baik untuk mendidik masyarakat terutama di bulan Ramadan yang lalu. Akan tetapi, sebaik saja berakhirnya Ramadan, pelbagai sajian yang tidak enak disajikan sehingga menyebabkan umat Islam menjadi lalai dan leka. Masing-masing hanya mengutamakan semangat hedonisme dalam merayakan Aidilfitri dan tidak lagi mengutamakan semangat untuk melakukan perubahan kearah kebaikan selepas keluar dari bulan Ramadan. Sedangkan Aidilfitri adalah salah satu medan bagi umat Islam untuk membuat perubahan dan penilaian diri dari semasa ke semasa.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Dato Seri Dr Harussani Zakaria yang pernah menyatakan bahawa sekiranya Aidilfitri disambut dengan method dan pengisian hiburan yang keterlaluan hukumnya adalah haram. Apabila jatuhnya hukum haram, maka sambutan Aidilfitri tidak lagi dianggap sebagai ibadah tetapi hanya adat tradisi yang bercanggah dengan agama.

Maka Aidilfitri pada hakikatnya harus disambut dengan melaksanakan ibadah-ibadah lain yang dituntut oleh Islam berserta dengan semangat iltizam untuk melakukan perubahan diri dan bukan hanya sekadar diisi dengan pelbagai bentuk hiburan keterlaluan yang melalaikan semata-mata. Kita seharusnya mengkaji semula adakah cara kita menyambut Aidilfitri ini boleh dianggap sebagai suatu yang diredhai Allah atau hanya sekadar mengundang kemurkaanNYA.

Wednesday, September 9, 2009

Syair-Syair Imam Syafi'e


TIPUAN PALSU
Aku melihat tipu muslihat dunia,
tatkala ia bertenggerdi atas kepala-kepala manusia,
dan membincangkan manusia-manusia yang terkena
tipunya.
Bagi mereka,
Orang sepertiku tampak amat tak berharga.
Aku disamakan olehnya,
dengan anak kecil yang sedang bermain di jalanan.

MENCINTAI AKHIRAT
Duhai orang yang senang memeluk dunia fana,
Yang tak kenal pagi dan sore dalam mencari dunia,
Hendaklah engkau tinggalkan pelukan mesramu,
kepada duniamu itu.
Karena kelak engkau akan berpelukan,
Dengan bidadari di surga.
Apabila engkau harap menjadi penghuni surga abadi,
maka hindarilah jalan menuju api neraka.

RENDAH HATI
Bagaimana mungkin kita dapat sampai ke Sa’ad,
Sementara di sekitarnya terdapat gunung-gunung
dan tebing-tebing.Padahal aku tak beralas kaki,
dan tak berkendaraan.
Tanganku pun kosong dan,
jalan ke sana amat mengerikan.

TENTANG CINTA
Engkau durhaka kepada Allah,
dan sekaligus menaruh cinta kepada-Nya.
Ini adalah suatu kemustahilan.
Apabila benar engkau mencintai-Nya,
pastilah engkau taati semua perintah-Nya.
Sesungguhnya orang menaruh cinta,
Tentulah bersedia mentaati perintah orang yang dicintainya.
Dia telah kirimkan nikmat-Nya kepadamu,
setiap saat dan tak ada rasa syukur,
yang engkau panjatkan kepada-Nya.

KEPUASAN (QANA'AH)
Aku melihat bahwa kepuasan itu pangkal kekayaan,
lalu kupegang erat-erat ujungnya.
Aku ingin menjadi orang kaya tanpa harta,
dan memerintah bak seorang raja.

ANUGRAH ALLAH
Aku melihat-Mu pada saat penciptaanku,
yang penuh dengan anugerah.
Engkaulah sumber satu-satunya,
pada saat penciptaanku.
Hidarkan aku dari anugerah yang buruk.
Karena sepotong kehidupan telah cukup bagiku,
hingga saat Engkau mematikanku.

Sunday, September 6, 2009

MANYERAP SEMANGAT BADAR AL-KUBRA KE DALAM JIWA


Pada ketika umat Islam menyambut Nuzul-al-Qur’an pada hari ini, mungkin ramai juga yang terlupa bahawa pada tarikh yang sama satu lagi peristiwa besar telah berlaku dalam sejarah Islam. Tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, peristiwa yang dinukilkan dalam Al-Qur’an sebagai Yaumul-Furqan (Hari Pemisahan di Antara Hak dan Batil) telah berlaku; peristiwa penting yang menjadi penentu kepada tertegaknya atau jatuhnya Islam; peristiwa yang menentukan sama ada yang hak atau yang batil yang akan selamanya menang; itulah peristiwa yang kita kenali sebagai peperangan Badar Al-Kubra!

Peristiwa Badar Al-Kubra, yang merupakan peperangan pertama bagi umat Islam, adalah satu peristiwa yang cukup penting kerana peristiwa tersebut menjadi penentu sama ada yang hak akan berada di atas kebatilan atau yang batil akan berada di atas yang hak. Apatah lagi, tentera Islam yang seramai 313 orang itu semuanya merupakan ‘orang-orang kuat’ Islam yang seandainya terkorban, pasti perkembangan Islam itu sendiri akan mati. Malah, peristiwa ini juga boleh menjadi kayu ukur, adakah kekentalan iman Islam akan menang atau puak musyrik akan mudah meleburkan tentera Islam. Atas sebab itulah, Rasulullah s.a.w. berdoa kepada Allah S.W.T. sebelum bermulanya peperangan, yang menggambarkan betapa penting dan besarnya perang Badar Al-Kubra tersebut;

Baginda Rasulullah s.a.w. berdoa: “Wahai Allah, kalau (pasukan Muslimin) ini sampai binasa hari ini, Engkau tidak akan disembah lagi (oleh manusia). Wahai Allah, jika Engkau menghendaki, Engkau tidak disembah lagi selepas ini.”

Dalam peristiwa inilah kita menyaksikan bagaimana Allah S.W.T. membuktikan janji akan pertolongan-Nya kepada orang-orang yang beriman dan berjihad di jalan-Nya. Dalam peristiwa ini jugalah kita menyaksikan bagaimana kesatuan dan kesepaduan umat Islam itu teruji dan terbukti. Strategi peperangan yang terhasil daripada musyawarah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menjadi hujah betapa pentingnya musyawarah dalam membuat keputusan penting dalam sesebuah organisasi atau jemaah. Malah, dalam peristiwa ini jugalah terbukti keimanan para sahabat yang telah menyatakan iltizam mereka untuk bersama-sama dengan Rasulullah, walaupun menyedari bahaya yang menanti di hadapan. Namun, dek kekentalan iman dan keyakinan yang menebal akan janji Allah S.W.T. dan Rasul-Nya, maka mereka terus mara di medan perjuangan.

Perhatikan ucapan Sa’ad ibn Muaz, mewakili golongan Ansar yang merupakan golongan terbanyak dalam barisan tentera Badar tersebut, yang menyatakan tekad mereka sekaligus menghilangkan kegusaran dan menghadirkan kegembiraan di hati Rasulullah s.a.w.: “Kami telah beriman kepadamu, dan kami bersaksi bahawa apa yang engkau bawa adalah benar. Atas dasar itu, kami telah menyatakan janji untuk sentiasa bersama, taat dan setia kepadamu. Wahai Rasulullah! Laksanakanlah apa yang engkau kehendaki, kami tetap bersamamu. Demi Allah! Seandainya engkau menghadapi lautan dan engkau terjun ke dalamnya, kami pasti akan terjun bersamamu juga. Tidak ada seorang pun di antara kami yang mundur dan kami tidak akan bersedih jika engkau menghadapkan kami dengan musuh esok hari. Kami akan tabah menghadapi peperangan dan tidak akan melarikan diri. Semoga Allah akan memperlihatkan kepadamu apa yang sangat engkau inginkan daripada kami. Marilah kita berangkat dengan kemuliaan Ilahi.”

Akhirnya dengan bantuan tentera daripada para Malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T., tentera Islam yang hanya seramai 313 orang itu berjaya menumpaskan tentera Musyrik yang diketuai oleh Abu Jahal. Oleh sebab besarnya peranan dan nilai kemenangan tentera Islam dalam peperangan Badar Al-Kubra ini, para tentera Badar adalah merupakan mereka yang dikurniakan kemuliaan.

Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah melihat orang yang menyertai Perang Badar, lalu Dia berfirman: ‘Lakukanlah apa sahaja yang kamu kehendaki kerana Aku telah mengampunkan dosa kamu!’”.

Imam Al-Bukhari r.a. juga turut menyebut mengenai kehadiran tentera malaikat dalam Peperangan Badar dengan memetik sebuah hadith, yang bermaksud: “Malaikat Jibril a.s. menemui Nabi Muhammad s.a.w. lalu bertanya, ‘Apakah jenis tentera yang menyertai kelompok tentera Badar ini?’ Baginda s.a.w. menjawab, ‘Daripada sebaik-baik kaum Muslimin, atau perkataan yang seumpamanya!’ Lalu Jibril a.s. berkata, ‘Begitu juga tentera Malaikat yang menyertai peperangan ini!’”.

Semoga Allah merahmati para ahli Badar.

Sedar atau tidak, Ramadan yang sedang kita lalui ini sudah sampai pada pertengahannya. Persoalan utama, apakah Ramadan yang kita tempuhi hari ini benar-benar telah mencetuskan perubahan di dalam diri dan prestasi ibadah kita? Aspek inilah sebenarnya sering dipandang enteng dan amat malang sekali bagi siapa yang menggelarkan dirinya pejuang agama Allah. Justeru, dengan melihat sirah generasi para anbiya’ dan para sahabat terdahulu kita harus menyerap segala kekuatan yang terhasil daripada usaha dan tawakkal mereka yang tinggi kepada Allah SWT. Contoh tauladan seperti itulah yang perlu diikuti dan diambil teladan agar muda mudi yang bakal dilahirkan suatu hari nanti adalah generasi yang dapat memimpin ke arah perubahan.

Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH ‘09) yang dianjurkan oleh PKPIM baru-baru ini meletakkan suatu harapan agar kita semua dapat menginsafi dan bermuhasabah diri atas segala amal yang telah kita laksanakan. Mudah-mudahan, madrasah Ramadan ini dapat melahirkan insan-insan yang bersih jiwanya, istiqamah dalam amalannya dan tinggi semangat jihadnya. Di samping itu, peristiwa Nuzul al-Qur’an ini bakal menjanjikan satu mesej yang begitu signifikan kepada kita demi merealisasikan impian tinggi agama untuk melahirkan generasi Qurani di kalangan pemuda-pemuda hari ini “Jiil al-Quran al-Farid”.

Semoga Allah mempertautkan hati-hati kita dengan segala rahmat yang terkandung dalam bulan Ramadan yang penuh mulia ini.
Allahu Akbar!

Wednesday, September 2, 2009

::PKPIM BAKAL MENGANJURKAN MAJLIS IFTAR MAHABBAH 2009 (MIFTAH '09)::


Kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia akan sekali lagi diraikan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat. Di peringkat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kehadiran bulan Ramadhan tahun 1430H ini sekali lagi tepat dengan suasana dan keadaan semasa. Kesempatan untuk berpesta ibadah, untuk melakukan muhasabah, membersihkan jiwa serta mendidik diri perlu dimanfaatkan oleh seluruh ahli PKPIM yang baru sahaja selesai melaksanakan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) yang ke-48.

Sebagai sebuah gerakan pelajar Islam peringkat kebangsaan, PKPIM sekali lagi akan mengadakan program tradisinya dalam bulan Ramadhan yakni Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH) dengan tema “Sentuhan Kasih Ramadhan Pertaut Hati Umat”. Peluang untuk bersama-sama meraikan bulan Ramadhan, mengukuhkan ukhuwwah sebagai elemen penting dalam gerakan ini, serta bersama-sama melaksanakan ibadah secara berjemaah adalah kesempatan yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Selain daripada itu, peluang untuk melakukan pendidikan dan pembaikan diri sempena bulan Ramadhan ini juga tidak harus dilepaskan.

Justeru, bagi sambutan MIFTAH 1430H ini, PKPIM mengambil kesempatan yang sangat baik ini bagi mengeratkan lagi ukhuwwah, serta memperkukuh kesatuan hati, fikir dan tindakan para ahli. Di samping ibadah-ibadah khusus yang biasa dilakukan dalam bulan Ramadhan, MIFTAH 1430H ini juga akan memberikan penekanan kepada pengisian-pengisian yang fundamental dan penting tentang hal-hal gerakan (harakiyyah) dan da’wah. Selain itu, PKPIM mengambil inisiatif untuk membincangkan isu perundangan Islam yang menjadi topik perbualan hangat hari ini agar seluruh mahasiswa mendapat kefahaman yang jelas tentang isu yang berlegar di sekeliling kita.





TENTATIF MIFTAH '09

Jumaat, 14 Ramadhan 1430H

3.00 petang: Pendaftaran

4.30 petang: Solat Asar
Bacaan Wirid Al-Ma’thurat
Majlis Pembukaan & Ucapan Aluan
Oleh:
Sdr. Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad
-Timbalan Presiden PKPIM 2009/2010

6.30 petang: Urus diri

7.20 petang: Berbuka Puasa
Solat Maghrib
Makan Malam

8.30 malam: Solat Isya’
Solat Sunat Tarawikh

10.00 malam: Minum Malam
Tadarus Al-Quran

11.30 malam: Tidur


Sabtu, 15 Ramadhan 1430H

4.30 pagi: Qiyamullail

5.00 pagi: Sahur

5.50 pagi: Solat Subuh
Bacaan Wirid Al-Ma’thurat
Kuliah Subuh:
“Selamat Datang Ramadhan”
Oleh:
Sdr. Fadzril Bin Salleh
- Exco Dakwah & Tarbiah 2009/2010

7.15 pagi: Urus Diri
Solat Dhuha

8.30 pagi: Pengisian MIFTAH 1:
“Jatidiri Penda’wah dan Gerakan Da’wah”
Oleh:
Prof. Sidek Baba - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak

9.45 pagi: Rehat

10.00 pagi: Pengisian MIFTAH 4:
“Perundangan Islam dan Peranan Mahasiswa Masa Kini”
Oleh:
Prof. Aziz Bari
Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


11.15 pagi: Rehat

11.30 pagi: Pengisian MIFTAH 3:
“Ramadhan dan Misi Ketaqwaan”
Oleh:
Ustaz Muhadir Bin Joll
-Pensyarah Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya

12.30 t/hari: Rehat

12.45 petang: Tadarus Al-Qur’an

1.20 petang: Solat Zohor

2.00 petang: Pengisian MIFTAH 2:
“Gagasan Ta’dib Islami Dalam Gerakan Da’wah”
Oleh:
Dr. Mohd Farid Mohd Shahran - Mantan Timbalan Presiden ABIM 2008/2009

3.00 petang: Rehat


3.15 petang: Bengkel Penyelarasan Silibus Usrah Kampus & BGN

4.30 petang: Solat Asar
Bacaan Wirid Al-Ma’thurat
Tadarus Al-Qur’an

6.00 petang: Rehat dan Urus Diri

7.20 petang: Berbuka Puasa
Solat Maghrib
Makan Malam

8.30 malam: Solat Isya’
Solat Sunat Tarawikh

10.00 malam: Minum Malam
Tadarus Al-Quran
Tidur

Ahad, 16 Ramadhan 1430H

4.30 pagi: Qiyamullail

5.00 pagi: Sahur

5.50 pagi: Solat Subuh
Bacaan Wirid Al-Ma’thurat
Kuliah Subuh:
“Ramadhan: Medan Muhasabah dan Latihan Aktivis Gerakan”
Oleh:
Sdr. Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad
- Timbalan Presiden PKPIM 2009/2010

7.15 pagi: Urus Diri

9.00 pagi: Majlis Menghadam Ucapan Dasar Presiden PKPIM 2008/2009

10.30 pagi: Majlis Penutupan (Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz)
-Presiden PKPIM 2009/2010

Bersurai

Wednesday, August 26, 2009

Promosi Buku Sejarah PKPIM


"Sejarah dan perjuangan PKPIM sepanjang 5 dasawarsa dalam persada dakwah dan generasi muda. Sumbangan PKPIM sebagai pertubuhan pelajar Islam peringkat kebangsaan yang telah mewarnai perubahan masyarakat Islam di Malaysi, sebagai rakan pembina negara dan suara advokasi anak muda yang vokal. Prinsip wasotiyah, non-partisan dan berbudaya ilmu sebagai teras kekuatan PKPIM."

Dapatkan buku yang mengisahkan tentang sejarah gerakan pelajar Islam yang tertua di negara ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Semenjak daripada tahun 1961 sehingga kini, PKPIM terus konsisten di persada dakwah tanahair. Untuk mendapatkan buku ini, sila berhubung dengan:

* Sekretariat PKPIM Pusat (rujuk www.pkpim.net)
* Sdri. Lina Mursyidah (013-6282505)

Buku "PKPIM: 5 Dasawarsa" ini dijual pada harga RM22.90.

Dapatkan segera!