Monday, September 6, 2010

Televisyen Menghakis Kesucian 1 Syawal

Setiap tahun Aidilfitri datang dan pergi sebagai kurnia dan anugerah Allah kepada hambanya untuk meraikan kemenangan dalam menghadapi dugaan setelah menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Maka saban tahun umat Islam bergembira merayakan Aidilfitri dengan mengamalkan tradisi balik ke kampung untuk menemui ayah bonda serta sanak saudara. Tidak kurang juga ada yang kunjung-mengunjung ke rumah jiran-jiran yang berdekatan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan jalinan persaudaraan sesama mereka.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari lebaran, kita sering kali dibudayakan dengan cara sambutan yang tidak wajar dan dilihat bertentangan dengan amalan sebenar dalam menyambut kedatangan 1 Syawal. Setiap tahun apabila menjelangnya Aidilfitri, pelbagai program dan pengisian yang berbentuk hiburan melampau disajikan oleh televisyen. Ia seolah-seolah tidak ubah seperti persaingan antara syaikat-syarikat media untuk mendapat tempat di hati masyarakat Islam di Malaysia dan bukan lagi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat. Akibatnya, pelbagai bentuk rancangan yang tidak wajar dipertontonkan menerusi televisyen bagi mengisi kekosongan Aidilfitri. Lantaran itu, hari mulia 1 Syawal telah dicemari dengan pelbagai bentuk hiburan melampau yang bertentangan dengan norma-norma serta nilai-nilai hidup bangsa dan agama kita.

Ia secara tidak langsung akan mengubah persepsi generasi muda yang tersalah faham dengan meletakkan televisyen sebagai teras utama dalam menyambut Aidilfitri. Sebagai contoh kebanyakan dari kita terlalu leka dengan sajian hiburan yang melampau sedangkan tanggungjawab sebenar dalam melakukan perkara-perkara yang dituntut seperti amalan ziarah, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan sebagainya diabaikan. Tidak kurang ada yang sanggup menghabiskan sepanjang hari dengan pergi ke panggung wayang untuk menonton filem yang diuar-uarkan menarik sehingga melupakan amalan ziarah-menziarahi. Maka, dengan sajian-sajian sedemikian, akan menyebabkan terhakisnya nilai-nilai kemuliaan Aidilfitri sebenar yang dipraktikkan semenjak dahulu lagi sehingga menjadi amalan tradisi kita.

Seperti contoh, amalan ziarah sendiri yang bertujuan untuk saling mengenali antara satu sama lain dan mengerat hubungan silaturrahim gagal dicapai disebabkan masing-masing sibuk untuk menonton rancangan-rancangan televisyen yang menarik. Tujuan tetamu yang pada mulanya hadir untuk beramah mesra dan merapatkan hubungan yang terjalin dengan tuan rumah telah berubah sebaik saja rancangan yang menarik telah tersaji di rumah tuan rumah. Maka masing-masing mengalihkan perhatian dengan hanya memberikan tumpuan kepada apa yang disajikan televisyen. Tuan rumah pula tidak lagi mengutamakan adab-adab Islam dalam menghormati tetamu kerana tidak mahu ketinggalan untuk menonton setiap sajian yang menarik. Sedangkan menghormati dan memuliakan tetamu adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Nabi pernah bersabda: “Siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya”. Di samping itu, nilai komunikasi sesama kita dalam bentuk beramah mesra, bertegur-sapa, saling bermaafan juga telah dibataskan.

Aidilfitri sebenarnya perlu diisi dengan laungan takbir dengan memuji kebesaran Allah dan tasbih sebagai tanda meraikan kemengan kita dalam menyempurnakan ibadat Ramadan. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda : “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid, dan taqdis”. Dalam masa yang sama, Aidilfitri juga menitik beratkan dua perkara asas iaitu pertalian ukhuwah sesama Muslim dan juga “tazkiyatun nafsi” atau pembersihan jiwa yang dibina menerusi madrasah Ramadan selama sebulan. Maka disini jelas, sekiranya Aidilfitri itu sendiri diisi dengan pelbagai bentuk kemungkaran, kemaksiatan, dan hiburan yang melampau, ia sememangnya bercanggah dengan tujuan dan cara sebenar dalam meraikannya.

Dalam pada itu, nilai spiritual atau kerohanian yang dibina melalui kejayaan Ramadan juga terhakis. Madrasah Ramadan yang dianjurkan agama khusus untuk melahirkan insan yang bertaqwa sukar direalisasikan ekoran pelbagai kemungkaran dan hiburan yang bertentangan dengan adat dan agama direncanakan menerusi televisyen. Mufti Perak Dato Seri Dr Harussani Zakaria yang pernah menyatakan bahawa sekiranya Aidilfitri disambut dengan method dan pengisian hiburan yang keterlaluan hukumnya adalah haram. Apabila jatuhnya hukum haram, maka sambutan Aidilfitri tidak lagi dianggap sebagai ibadah tetapi hanya adat tradisi yang bercanggah dengan agama.

Maka Aidilfitri pada hakikatnya harus disambut dengan melaksanakan ibadah-ibadah lain yang dituntut oleh Islam berserta dengan semangat iltizam untuk melakukan perubahan diri dan bukan hanya sekadar diisi dengan pelbagai bentuk hiburan keterlaluan yang melalaikan semata-mata. Kita seharusnya mengkaji semula adakah cara kita menyambut Aidilfitri ini boleh dianggap sebagai suatu yang diredhai Allah atau hanya sekadar mengundang kemurkaanNYA.

No comments: