Monday, July 6, 2009
Budaya Berhutang: Antara Keperluan Dan Keseronokan Yang Sementara
Bismillahirahmanirrahim…
Kebelakangan ini kita sering dikhabarkan dengan berita dan kisah penderitaan hidup individu yang terlibat dengan hutang yang tidak dapat dilunasi. Tidak terlepas juga beberapa bulan lalu kita telah digemparkan dengan berita keganasan Ah Long terhadap mereka yang gagal melangsaikan hutang masing-masing. Berita tersebut jelas mendapat perhatian banyak pihak dan tidak ketinggalan Perdana Menteri juga telah melahirkan rasa terkejut dengan kejadian seperti itu. Persoalannya, apakah senario hutang ini baru saja berlaku di sekeliling kita? Apakah puncanya, dan apakah selama ini tidak ada jalan penyelesaian kepada masalah hutang ini?
Pada hakikatnya, Islam telah terlebih dahulu menyentuh dan memberi garis panduan yang selamat dalam hal hutang ini. Agama Islam membenar malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah kewangan. Dalam masa yang sama, Islam memberi galakkan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.
Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia" (Al-Hadid : 18)
Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :
" Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan" (Al-Maidah : 2)
Namun demikian, Islam begitu teliti dan amat memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang tersebut kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini sehinggalah ke akhirat kelak.
Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.
Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan RUGI, RUGI dan RUGI. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.
Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.
Apabila direnung kembali, ternyata ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah :-
1) Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.
2) Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang, lantaran itu ia berbuat demikian, walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanyalah untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.
3) Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang telah dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.
4) Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan berhutang.
5) Berkehendakkan sesuatu benda yang melibatkan material dan kebendaan dengan cepat dan pantas walaupun pada hakikatnya ia tidak mampu berbuat demikian.
Dalam hal ini jika perkara yang hendak dimiliki itu merupakan keperluan asasi (dharuriat) seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya, maka Islam membenarkan berhutang sebagaimana dalam sebuah hadis iaitu :-
Maksudnya :
"Daripada Abu Hurairah R.A., berkata seseorang ; Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik ?, Baginda bersabda 'Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya. "
Tetapi jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah ia berhutang, kerana hanya akan menambahkan bebanan lebih-lebih lagi jika melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba'.
Perlu diambil perhatian bahawa, antara implikasi amalan berhutang ialah:-
1) Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.
2) Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam kancah resah gelisah dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
3) Seseorang yang terbeban dengan hutang itu akan memungkinkan ia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh Syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.
4) Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya setelah meniggal dunia sehinggalah dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup.
Sabda Rasulullah S.A.W :-
Maksudnya :
"Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya ".
Na’uzubillahiminzalik…!
Rasulullah S.A.W pernah berwasiat kepada para sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya :-
Maksudnya :
'Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas'
5) Amalan berhutang ini bukan sahaja melibatkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan ia berpanjangan hingga ke hari akhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W :-
Maksudnya :
" Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi "
6) Mereka yang berhutang walau sebanyak manapun amalan kebaikan yang dilakukan, ia tidak akan selamat di dunia dan di akhirat sekalipun dia mati syahid. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :-
"Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. " (Riwayat Bukhari, Tarmizi, An-Nasai' dan Ibn. Majah)
Rasulullah S.A.W sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, bahawa bila didatangkan kepada Rasulullah S.A.W satu jenazah, Rasulullah S.A.W tidak akan bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup menaggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.
Begitu juga akan halnya yang melingkari senario mahasiswa kini yang perlu kepada wang yang banyak untuk membiayai pelajaran mereka. Betapa ramai graduan hari ini dihimpit dengan masalah hutang pinjaman yang belum diselesaikan. Justeru itu, kita memerlukan satu mekanisma yang benar-benar mapan untuk mengatasi masalah hutang ini. Pada hemat saya, panduan dari Al-Quran dan As-Sunnah itu adalah penyelesaiannya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment