Monday, August 17, 2009

RAMADHAN BULAN PEMBINAAN INSAN, MEDIUM PENYATU UMAT.




Dalam pelbagai kemelut dan polemik yang kita telah lalui, seluruh umat Islam akan bertemu dengan bulan paling mulia, penuh barakah, keampunan dan pembebasan dari azab neraka. Ramadhan tiba lagi. Walau apa keadaan dan kesediaan kita, kitaran masa yang diatur pasti akan menemukan kita dengan bulan penuh ganjaran ini. Persoalannya kini, adakah kita mampu menggarap kekuatan Ramadhan itu, lebih daripada peranannya sebagai sebuah bulan puasa, bulan ibadah dan bulan kesihatan semata-mata? Malah ada pula yang nakal dengan melihat Ramadhan sebagai bulan ‘gastrik’, bulan ‘prestasi menurun’ dan bulan ‘kedai buka separuh’ (bulan di mana sesetengah kedai yang menawarkan juadah buat mereka yang ponteng puasa).

Anjakan Persepsi

Kita selaku rakyat yang bertamadun, Islamik dan berdaya saing harus melihat Ramadhan dari perspektif berbeza. Ramadhan sebenarnya cukup berperanan sebagai pembina insan yang kita cari selama ini. Ia juga merupakan platform terbaik ke arah penyatuan hati umat Islam. Pengajaran besar yang kita boleh ambil daripada peristiwa perang Badar (Badr al-Kubra) menyaksikan kepada kita apa yang disebut sebagai suntikan semangat buat umat seluruhnya. Peperangan yang berlangsung pada Ramadhan yang panas terik, berdepan pula dengan kekuatan militari musuh sejumlah seribu orang, serta dengan berbekalkan kelengkapan perang yang terbatas, keadaan tentera Islam pada waktu itu amat sulit sekali. Namun berteraskan keberkatan dari ketahanan puasa, dan ketaatan pada Rasulullah S.A.W., serta keimanan total kepada Allah S.W.T., mereka mampu menang dan memacakkan bendera kegemilangan Islam ketika itu. Kekuatan modal insan seperti inilah yang kita mahu garap.

Pada hari ini, kita mengaharapkan agar seluruh tenaga digembleng untuk memperkasakan modal insan yang berkualiti buat negara. Inilah aset sebenar negara. Melihat kepada indeks prestasi (key performance index) negara kini, kita amat berpotensi untuk maju dengan kemajuan infrastruktur setaraf barat. Namun, indeks yang sama juga perlu ada untuk menilai kualiti yang ada pada barisan modal insan yang negara kita miliki. Apakah kayu ukur yang perlu digunakan? Apakah acuan yang perlu ada untuk membina modal insan negara? Siapakah yang amat berperanan di dalam misi ini?Ini pasti merupakan persoalan asas yang bakal terbit bila kita mula membincangkan tentang modal insan.

Misi Membina Insan

Sejak dahulu lagi, pelbagai program telah dilancarkan atas iltizam kerajaan ke arah pembentukan generasi muda yang berakhlak, berkarisma dan dalam masa yang sama, punya kualiti kepimpinan yang tinggi. Di sinilah kita, selaku rakyat berprinsip, melihat seluruh perlaksanaan program yang dijalankan oleh kerajaan mahupun mana-mana pihak terhadap pembangunan insan, khususnya belia sebagai program yang wajar disokong dan dibantu dengan kapasiti kita sebagai individu, keluarga, ketua masyarakat, sektor swasta, dan penggerak badan-badan bukan kerajaan (NGO). Persepsi negatif seperti menganggap program-program belia yang dijalankan sebagai instrumen politik sesebuah pihak wajar dikikis, demi melihat maslahah (kepentingan) dan kejayaan umat seluruhnya kekal terjaga dan terbela.

Personaliti Memuncak

Kita harus laungkan semula matlamat untuk membina generasi yang berpersonaliti memuncak atau “Towering Personality” sebagai satu mercu untuk digapai bersama. Hal ini wajar dijadikan slogan dan prinsip asas untuk membina generasi belia kini yang berakhlak mulia dan berdaya saing. Ini juga dianjur dan disaran kepada para kepemimpinan negara agar turut mengaplikasikannya kerana ianya amat selari dengan teras yang terdasar dalam intisari agama Islam yang mengambil pendekatan pembinaan insan soleh sebagai tunjang kepada pembinaan empayar negara Islam moden yang kita dambakan selama ini.

Medium Penyatu Umat.

Melihat kepada akar permasalahan yang melingkari umat pada hari ini, mahu atau tidak kita sangat memerlukan kepada satu wadah untuk mempersatukan umat. Masyarakat Melayu Islam di negara ini terutamanya harus memasakkan dalam hati bahawa segala kemelut perbezaan prinsip dan ideologi perlu diselesaikan dengan mencari titik persamaan antara satu sama lain demi menjaga survival umat dan masa depan generasi akan datang. Sebagai contoh, antara resolusi yang dicapai di dalam Kongres Pelajar dan Teras-Teras Kenegaraan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institiut Integriti Malaysia (IIM)baru-baru ini, telah disepakati bersama bahawa perlunya wujud usaha untuk kembali semula kepada teras dan nilai agama Islam yang mana ianya dapat mewujudkan persamaan dan persefahaman antara semua pihak.

Justeru, adalah diharap agar semua pihak bersatu dan berpadu dalam menjadikan bulan Ramadhan tahun ini sebagai azam baru dengan menggandakan program-program muhasabah, program kepimpinan dan program kecemerlangan akademik, demi mengambil barakah yang melimpah-ruah di dalam bulan mulia ini. Kita mohon bersama-sama agar usaha kita untuk mengangkat kembali martabat generasi muda kita hari ini kian diberi kekuatan dan bantuan dariNYA. Segala persengketaan politik, kekalutan persaudaraan, serta kecelaruan polemik wajar dihentikan demi memberi laluan kepada Ramadhan, “Bulan Pembinaan Insan, Medium Penyatu Umat”.

No comments: