Wednesday, October 14, 2009

MISI MEMBANTERAS KEBEJATAN ADAB GENERASI MUDA

Dalam meniti hari-hari akhir di bulan Syawal yang disifatkan sebagai bulan kemenangan umat Islam ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) rasa terpanggil untuk menyatakan rasa dukacita yang sangat dalam apabila melihat akan perilaku generasi muda hari ini yang sudah tandus akhlak dan adabnya. Laporan akhbar Harian Metro yang bertarikh 14 Oktober 2009 mendedahkan kegiatan tiga beradik yang menganjurkan pesta maksiat bersama pasangan mereka di sebuah pangsapuri yang disewa di Putrajaya. Lebih menyedihkan, kegiatan itu membabitkan tiga gadis bawah umur yang sepatutnya menumpukan pelajaran di sekolah. Berita seumpama ini hanyalah sekelumit daripada ribuan permasalahan generasi muda hari ini. Bahkan, mungkin ada yang menyifatkan berita seperti ini adalah picisan kerana di sana masih banyak lagi masalah yang lebih serius melibatkan generasi muda dalam pelbagai kegiatan jenayah. Walau apa sekalipun, perkara pokoknya tetap sama. Anak muda hari ini khususnya bangsa Melayu telah dirempuh dengan kebejatan akhlak dan adab yang sangat besar.

Selain itu, baru-baru ini Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed telah membuat kenyataan berkenaan dengan jumlah penagih dadah di kalangan wanita di negara ini meningkat sebanyak 1.7 peratus iaitu seramai 263 orang yang ditangkap berbanding tahun lalu. Jumlah ini dianggap serius kerana ia melibatkan golongan wanita yang berumur seawal 18 tahun. Bukti lain yang menunjukkan betapa seriusnya masalah penagihan dadah di kalangan wanita di negara ini adalah dengan wujudnya satu pusat serenti wanita yang dibina di Bachok, Kelantan, yang dikenali sebagai Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen). Lanjutan daripada itu, beliau juga menyatakan sehingga September lalu, seramai 2,762 penagih dadah dikesan dengan paling ramai direkodkan di Kuala Lumpur yakni berjumlah 577 orang atau 20.97 peratus dan diikuti Kedah seramai 574 orang atau 20.86 peratus. Nah, apakah kita masih lagi mahu pasif dan perlu bersikap apologetik dengan angka-angka di atas?

Pada hakikatnya, pelbagai cara atau ikhtiar telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa hinggalah kepada ibu bapa remaja yang terlibat demi membanteras permasalahan yang berlaku ini. Akan tetapi, persoalannya di sini apakah adab dan akhlak generasi muda dapat dikembalikan dengan bentuk hukuman semata-mata yang dijatuhkan atas kesalahan mereka? Adab hanya akan lahir menerusi penyemaian nilai-nilai murni berteraskan ilmu yang tepat terhadap seseorang individu sehingga lahirnya rasa pengiktirafan terhadap letakduduk segala sesuatu pada tempatnya yang benar. Tempat segala sesuatu sudah pasti bukan sahaja merujuk kepada tempat yang bersifat jasmani tetapi yang lebih penting kedudukan rohani seperti ketuhanan, kenabian, hari akhirat dan lain-lain dalam jiwa dan akal manusia. Justeru, PKPIM merasakan langkah terbaik bagi mencetuskan rasa beradab seperti ini adalah dengan medium pendidikan atau ta’dib (penyemaian adab dalam diri insan) terhadap generasi muda.

Dalam pada itu, PKPIM menyarankan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia agar memperkasa semula modul khas yang meliputi program motivasi, kesedaran, kerohanian, kekuatan minda dan jasmani yang telah dilancarkan di pusat korikulum daerah atau negeri tidak berapa lama dahulu. Hal ini penting demi menanam dan menjana semula sifat dan nilai murni yang sepatutnya ada dalam diri pelajar. Jika kita imbas sejarah, banyak sekali pengiktibaran yang membuktikan bahawa kekuatan fizikal, mental dan spiritual golongan muda pada usia inilah yang akan menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa. Pada usia inilah manusia berada di tahap paling optimum dalam kebangunan jasad dan mentalnya dalam menyumbang yang terbaik dari dirinya.

Pasti kita masih ingat akan sejarah betapa banyak tokoh-tokoh remaja yang melonjakkan diri mereka menjangkau pemikiran dan sumbangan golongan dewasa. Kisah al-Imam asy-Syafie yang mampu mengeluarkan fatwa tentang urusan agama pada usia 15 tahun, keunggulan Sultan Muhammad al-Fatih yang mengetuai ratusan armada kapal laut dalam misinya menawan kembali Kota Konstantinople yang pada waktu itu beliau hanya berusia 21 tahun serta Ibnu Sina yang menguasai bidang Kimia dan 8 bidang ilmu utama yang lain pada usia 21 tahun yang sehinggakan kitab karangan terkenalnya Qanun Fittib dicetak di dalam pelbagai bahasa di benua Eropah. Semua di atas dan banyak lagi contoh remaja belia yang tidak dinyatakan di sini adalah bukti betapa kebolehan berfikir di luar konteks usia dan menabur bakti bersungguh-sungguh adalah syarat yang membolehkan mereka diangkat dan dihormati oleh umat pada zaman mereka dan zaman ini.

Oleh itu, PKPIM mencadangkan agar pendekatan berhikmah dapat digunakan bagi membanteras kebejatan sosial yang melanda generasi muda terutama dalam menyelesaikan permasalahan yang mengakar seperti isu seks bebas, penyalahgunaan dadah, buli, gangsterisme, merokok, dan sebagainya. Pendekatan yang baru serta bersifat tidak terus menghukum dilihat lebih sesuai dan berkesan. Api jika dilawan dengan api sudah pasti akan memarakkan lagi konflik yang ada. Justeru dengan pendekatan berhikmah, teknik membawa mereka kembali menghayati gaya hidup murni dan beradab secara tidak langsung adalah amat perlu. Di samping itu, pembentukan ‘peer group’, atau rakan yang prihatin perlu dalam memastikan anak-anak muda yang bermasalah ini dihampiri, dijiwai dan disembuhi bersama-sama menerusi kaedah ‘Mentor-Mentee’. Teknik ini boleh dipimpin oleh seorang senior atau moderator kumpulan berpengalaman dari kalangan NGO belia yang boleh menjadi tempat untuk mengadu masalah dan berkongsi pengalaman hidup sesama ahli. Perasaan kasih-sayang yang terbit di dalam kumpulan ini diharapkan menjadi penebat kepada krisis akhlak yang berlaku. Biar kita tegas dalam prinsip, namun dalam masa yang sama berlembut dalam pendekatan yang digunakan.

Perlu diingat, keterbangunan sebuah bangsa adalah terletak di bahu generasi mudanya. Sungguh, kita akan terus gemilang di persada belia dunia jika kebejatan adab yang melanda ini dapat dibanteras seiring dengan pembangunan spiritual, mental dan fizikal dijadikan asas dalam membina barisan remaja yang punya upaya dan dipercayai. Justeru PKPIM dengan satu “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” menyeru agar seluruh masyarakat memfokuskan kepada usaha melindungi, mendidik seterusnya memastikan generasi muda negara akan terus dilihat berakhlak mulia dan berkarisma dalam memimpin negara kita pada masa akan datang. Allah S.W.T pernah menggariskan di dalam al-Qur’an, ayat ke-26 surah al-Qosas, bahawasanya di antara syarat pemilihan pemuda yang terbaik untuk bekerja demi membangunkan negara adalah mereka yang mempunyai al-Qawiyy al-Amin, atau mereka yang berupaya dan berwibawa.

No comments: