Thursday, March 18, 2010

MATI RASA, MASYARAKAT BINASA


Umum mengetahui bahawa sesebuah masyarakat yang baik dan tinggi tamadunnya tidak hanya lahir daripada kemajuan teknologi dan material semata. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana individu-individu dalam nukleus masyarakat itu yang punya ‘rasa’ dan kesedaran terhadap setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Kita khuatir, dengan rempuhan kuat permasalahan sosial kini mengakibatkan masyarakat sudah mati ‘rasa’nya dan mati jiwanya. Lebih ditakuti, masyarakat akan binasa dan negara tidak mampu lagi ‘bernyawa’.

Baru-baru ini seluruh negara dikejutkan dengan penemuan premis-premis yang membekalkan gajet-gajet seks secara haram secara terbuka di beberapa kompleks membeli-belah yang terkemuka di ibu negara. Tidak lama sebelum itu, kita hangat membincangkan tentang isu buang bayi yang kian menular dalam masyarakat. Nah, tentu sahaja kita dapat membayangkan hubung kait dua contoh permasalahan yang berlaku ini. Jika masih ada yang mahu bersikap apologetik dengan isu ini, maka ianya harus disingkirkan segera. Manifestasinya, kita bersyukur dengan dengan tindakan tegas pihak berkuasa yang mengambil langkah drastik bagi menyelesaikan masalah ini.

Namun begitu, seringkali menjadi persoalan di benak fikiran kita ialah sejauh mana masalah yang berlaku ini dapat sampai kepada noktah akhirnya? Langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dengan menutup serta merta premis-premis gajet seks itu adalah sesuatu yang harus dipuji dan dan diberi galakan untuk tindakan susulannya. Tetapi, adakah pengusaha premis serta pelanggan gajet-gajet ini akan terus senyap dan berhenti dari terus merosakkan masyarakat? Ibarat seperti kita merampas jarum suntikan dari tangan penagih dadah. Jika dibiarkan, pasti dia menggigil untuk mencari bekalan dadah lain biapun terpaksa mencuri hatta membunuh. Inilah yang menjadi kerisauan, apabila mereka yang tidak serik ini bakal bertindak secara alternatif dengan melakukan perkara seumpamanya dengan bersembunyi dari diketahui umum.

Justeru itu, selain diberi penekanan terhadap penutupan premis-premis ini, pihak berkuasa juga disaran memberikan perhatian serius terhadap penjualan aksesori dan gajet seks ini yang sudah mula bergerak aktif di laman maya atau secara online. Mengikut sumber yang didapati, ada sesetengah pengusaha premis terbabit membangunkan laman sesawang sendiri bagi tujuan menerima tempahan pelanggan melaluinya.Tempahan juga boleh diterima melalui khidmat pesanan ringkas dan e-mel selain melalui interaksi menerusi laman rangkaian sosial khas diwujudkan.

Pepatah Inggeris yang menyebutkan, “Sins at the fingertips” memang ada kebenaran, mana tidaknya, hanya dengan beberapa taipan kata kunci pada papan kekunci dan mengklik pada tetikus, dengan segera terpapar imej-imej yang diidamkan. Kini, dengan bebrapa klik juga ianya dapat menambahkan pendapatan kepada insan-insan yang tidak bertanggungjawab.

Tidak dinafikan, internet yang mula diperkenalkan lewat abad lalu, telah banyak menyumbang kepada penetapan landasan kemajuan sesebuah negara. Perniagaan maya, promosi barangan, kemudahan persidangan video dan bertukar-tukar idea ekonomi, dilihat mengangkat martabat internet sebagai wahana kemajuan tamadun manusia kini. Tetapi, bagaimana pula peranan internet untuk melahirkan tamadun keinsanan? Lihat sajalah di kafe-kafe siber, kemudahan internet pada sebahagian besar anak-anak muda hari ini tidak lain hanyalah sebagai ruang sembang kosong, bermain permainan visual secara local area network, memuat turun nada dering, melawat laman-laman yang mengghairahkan, dan terkini membeli aksesori dan gajet yang dapat meningkatkan nafsu untuk melakukan seks hanya untuk merasa kenikmatan yang sementara.

Dari sudut perlaksanaan undang-undang, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dilihat dapat ditingkatkan lagi penguasaannya bagi menangkap dan mendakwa pihak-pihak yang bertanggungjawab yang terlibat dalam penjualan serta penyebaran gajet-gajet seks ini di pasaran. Dalam masa yang sama, kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar mengesan laman sesawang yang menjalankan transaksi pembelian gajet seks secara maya serta mengarahkan penutupan transaksi berkenaan dengan segera agar budaya gejala seks bebas dapat dikurangkan.
Malah, peranan Kastam Diraja Malaysia (KDM) juga perlu diperkemaskan dari sudut kawalan di semua pintu masuk. Dengan memperketatkan kawalan masuk gajet-gajet seks ini yang kebanyakannya dari negara China dan Hong Kong, sedikit sebanyak ia akan mengurangkan lambakan gajet-gajet yang tidak senonoh ini di dalam masyarakat Malaysia khususnya generasi muda.

Walau apapun, dalam konteks hari ini, pemerkasaan masyarakat itu sendiri perlu diutamakan. Buatlah apa saja pun, dari penguatkuasaan undang-undang, pemberatan hukuman dan penegasan media massa untuk menyedarkan pengusaha premis kembali ke pangkal jalan, namun jika tiada usaha balas secara besar-besaran dari sasaran penjual, iaitu masyarakat, semuanya hanya tinggal penguatkuasaan. Perlu ada konsep timbal-balik atau “vice-versa” dalam hal ini. Penjual tidak akan terus menjual jika tiada yang membelinya. Tindakan kita yang hanya mengharap pemantauan pihak polis dan pihak berkuasa yang lainnya semata-mata wajar dikikis. Masyarakat harus ada rasa sedar, bahawasanya perkara sebegini dapat menghancurkan jiwa anak bangsa dan generasi akan datang. Biarlah sensitiviti sebegini melangit di kalangan masyarakat, jika kita mahu lihat generasi yang punyai masa hadapan yang cerah akan datang.

Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan penuh rasa insaf dan prihatin akan permasalahan umat, menyeru agar semua lapisan masyarakat tampil ke hadapan membantu usaha pihak-pihak berkuasa dalam membanteras masalah sosial terlampau ini. PKPIM juga menyeru agar nukleus masyarakat iaitu institusi keluarga diperkukuhkan demi memastikan ahli keluarga kita sentiasa dalam keadaan selamat dan bebas daripada terlibat dengan perkara negatif sebgini. Suasana kemesraan dan ‘ambilil tahu’ harus dibenihkan oleh ibu bapa untuk anak-anaknya, agar dengan bekal itu, kewaspadaan mereka akan ditingkatkan dengan ikatan ingatan dan kasih sayang yang berpanjangan dari penjaganya, di mana jua mereka berada.

Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad

No comments: