Saturday, March 13, 2010

PKPIM GESA KERAJAAN BERTINDAK TEGAS TERHADAP FRANCAIS PREMIS MENJUAL AKSESORI SEKS SECARA TERBUKA


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap premis-premis yang menjual aksesori seks secara terbuka dan berleluasa. Premis-premis aksesori seks ini didapati menjual pelbagai produk seks seperti pil dan ubat-ubatan yang berbahaya serta diragui tahap keselamatannya, kondom, alat permainan seks dan lain-lain lagi.

PKPIM berpandangan bahawa penjualan secara terbuka yang dilakukan oleh premis tersebut secara tidak langsung telah menggalakkan perlakuan seks bebas khususnya di kalangan remaja masa kini. Maka, secara tidak langsung perlakuan seks bebas akan dijadikan budaya masyarakat kita tanpa kita sedari.

Sementara itu, dalam situasi masyarakat yang didedahkan dengan peningkatan bilangan kes penzinaan dan pembuangan bayi serta pelbagai gejala sosial yang kian parah, penjualan aksesori seks ini pasti akan memburukkan lagi keadaan sosial masyrakat Malaysia.

Dalam pada itu, PKPIM menyelar sikap penjual yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan mengambil sikap tidak kisah terhadap persoalan moral masyrakat memandangkan sikap seperti ini telah membantutkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara maju dari perspektif material dan spiritual yang di mana pada masa yang sama rakyatnya tetap teguh dan kukuh dengan pegangan nilai moral, adab dan agama masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, persoalan akhlak dan moral masyarakat perlu dititikberatkan agar ia tidak membawa bencana kepada negara suatu masa kelak. Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat mampu meruntuhkan dan membinasakan sesebuah negara dan tamadun.

Penyair Arab, Ahmad Syauqi pernah mengungkapkan dalam syairnya yang lebih kurang maksudnya, “Sesungguhnya kejayaan suatu umat (bangsa) terletak pada akhlaknya dan selagi mereka berakhlak, jika pada mereka telah hilang akhlaknya, maka akan jatuhlah umat (bangsa) ini.”

Sekretariat PKPIM Pusat

No comments: